Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Banjir: Zahid kata PH munafik, Mat Hasan tanya ada ilmu kasyaf?
Diterbitkan:  Sep 29, 2022 4:14 PM
Dikemaskini: 8:23 AM

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pembangkang sebagai munafik apabila memainkan isu banjir bagi mengelakkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini.

Ini selepas Menteri Besar Johor, Onn Hafiz mendakwa ahli parlimen pembangkang tidak kelihatan di kawasan masing-masing ketika banjir kilat melanda negeri itu baru-baru ini.

"Situasi ini menggambarkan sebuah `kemunafikan' yang nyata oleh pembangkang yang sedang gigih memanipulasikan isu banjir kerana takut PRU-15 diadakan.

"Ironinya semasa banjir kilat berlaku pembangkang tidak kelihatan, malah dalam kesibukan meneruskan kempen politik untuk menghasut kebencian bagi berdepan PRU-15," kata Zahid dalam hantaran di Facebook.

Semalam Onn Hafiz menempelak sesetengah ahli parlimen pembangkang yang didakwa tidak turun ke kawasan mereka yang dilanda banjir kilat baru-baru ini.

Onn Hafiz menerusi catatan dalam Facebooknya, mendakwa tidak nampak kelibat ahli Parlimen di beberapa kawasan terjejas terutamanya di Parlimen Iskandar Puteri, Pulai dan Sri Gading.

Mengulas lanjut Zahid berkata rakyat sudah boleh membaca muslihat dan fitnah pembangkang yang membantah PRU15 dalam msa terdekat kerana mereka memerlukan lebih masa sebagai 'talian hayat'.

"'Petisyen' sebenar rakyat adalah menterjemahkan rasa meluat terhadap `kemunafikan' pembangkang yang telah banyak merosakkan negara melalui peti undi," kata Zahid.

Sementara itu, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan membidas sikap kepimpinan Pakatan harapan (PH) apabila mendakwa Umno dan BN mahu mengadakan PRU semasa banjir.

“Tiada siapa yang mahu buat (PRU-15) musim banjir, macam mana pembangkang tahu ada banjir, mereka ada ilmu kasyaf?” katanya dipetik Utusan Online.

Kasyaf secara definisi mudahnya ialah kebolehan melihat atau mengetahui perkara ghaib atau perkara alam ghaib iaitu perkara yang tidak nampak dengan mata kasar.

Menurut Mohamad atau lebih popular dengan gelaran Mat Hasan, dakwaan itu seolah-olah menunjukkan BN tidak prihatin terhadap nasib rakyat dalam menghadapi banjir.

“Kami ini pun manusia juga, kalau banjir pun kami yang turun dahulu, Umno dan BN lah yang bertungkus-lumus turun.

“Janganlah ingat kami tiada sifat prihatin, kami lagi prihatin," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS