mk-logo
Berita
DAP jangan cari alasan 'tempang', kata setpol menteri

Setiausaha politik kepada Menteri Sumber Manusia M Saravanan menggesa pemimpin DAP Ngeh Khoo Ham berhenti mencari alasan yang tidak munasabah mengenai undangan hadir ke sesi taklimat khas anjuran Kementerian Sumber Manusia (KSM) berhubung dakwaan kekurangan pekerja asing.

"Dia mendakwa menteri (Saravanan) tidak buat kerja. Terdapat kecacatan dalam pengambilan pekerja asing.

"Kemudian, menteri menjemput dan mencabar untuk membuktikan dakwaan itu. Cabaran diterima. Satu sesi taklimat khas akan diadakan di kementerian dan jemputan telah dihantar.

"Sekarang, Ngeh kata taklimat itu perlu diadakan di parlimen bukan di kementeriannya. Dia perlu faham ini isu menteri dan kementerian.

Menteri Sumber Manusia M Saravanan.

"Jadi, saya minta Ngeh jangan cari alasan tempang. Datang sahaja ke taklimat dan tunjukkan bukti," kata Khamarulazlan Mohamad Hanafiah kepada Malaysiakini.

Dia mengulas laporan portal berita FMT yang memetik Ngeh berkata sesi taklimat itu perlu diadakan di parlimen.

Semalam, Saravanan dalam satu sidang media memberitahu bahawa satu jemputan telah dihantar kepada Ngeh dan Pengerusi DAP Lim Guan Eng untuk menghadiri sesi taklimat khas bersama Kementerian Sumber Manusia pada 5 Okt di pejabat menteri itu di Putrajaya.

Ini susulan kritikan Lim terhadap menteri sumber manusia berhubung kekurangan pekerja di negara ini sejak beberapa minggu lalu.

Saravanan kemudian mencabar Lim supaya meletakkan jawatan sebagai pengerusi DAP jika dia tidak dapat menemui apa-apa yang salah dengan cara kementerian menangani isu kekurangan pekerja asing.

Saravanan berkata dia sedia meletak jawatan jika Lim dapat membuktikan dirinya sebagai menteri bersalah dalam menangani isu tersebut.

Isu ini berlanjutan apabila Lim pada 16 Sept lalu menyahut cabaran itu dan meminta Saravanan menetapkan tarikh untuk dia mengutarakan isu kritikal dan kelemahan lain yang telah melambatkan pengambilan pekerja asing.

Sementara itu, Khamarulazlan berkata bahawa sesi tersebut akan dibuka kepada media.

"Menteri telah pun mengumumkan semalam. Pihak media, pemain industri dan pakar-pakar akan turut dijemput.

"Jadi, Ngeh tidak perlu takut. Dia nak bawa laskar siber DAP pun tak de masalah.

"Yang penting, dia perlu buktikan bahawa menteri telah bersalah dan semua permintaan dia sebelum ini dengan KSM adalah demi rakyat dan bukan untuk peribadi," katanya.

Semalam, Saravanan dalam sidang media yang sama mendakwa kenyataan Ngeh berhubung pengambilan pekerja asing mempunyai agenda peribadi.

"Dia minta untuk syarikat dia bukan untuk rakyat. Saya boleh cetak semua dokumen apa yang dia minta daripada kami.

"Semua permintaan adalah peribadi. Tapi, kononnya dia buat drama minta untuk rakyat. Dia minta untuk syarikat dia, saya tak tahu dia minta untuk diri dia atau dia merupakan ejen," katanya.

Saravanan juga berkata akan mendedahkan semua permintaan dibuat oleh ahli parlimen Beruas itu kepada umum pada sesi taklimat itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS