Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan digesa perkenal pendidikan kesihatan sejajar dengan norma baru

Berbanding hanya memberi panduan berhubung cara hidup dalam era endemik, kerajaan digesa turut memperkenalkan pendidikan berkenaan kesihatan yang baru, selaras dengan norma baru selepas wabak Covid-19.

Cadangan itu disuarakan Timbalan Setiausaha Agung PKR Dr Sathia Prakash Nadarajan yang menekankan rakyat memerlukannya bagi memahami kehidupan dalam norma baru.

"Kita melihat kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan datang dengan pelbagai arahan dan syarat baru dalam era endemik ini.

"Tapi, persoalannya apakah mereka (orang ramai) betul-betul ikut cara kehidupan dalam norma baru ini? Memang tidak. Maka, kerajaan perlu melaksanakan pendidikan kesihatan yang baru kepada semua," katanya kepada Malaysiakini.

Dia juga berkata pendidikan itu juga perlu diserap di sekolah agar generasi muda lebih bersedia menghadapi pandemik pada masa akan datang.

Sathia membangkitkan isu pemakaian pelitup muka yang menurutnya masih tidak difahami ramai orang.

"Sebagai contoh, baru-baru ini kerajaan buat keputusan pemakaian topeng di dalam bangunan tak lagi wajib. Kerajaan juga berkata bahawa keputusan itu berdasarkan data dan kajian.

"Pada masa sama, kes baru pada masa ini antara 2,000 hingga 3,000 sehari dan kita tahu angka ini tidak tepat kerana ramai yang tidak memaklumkannya walaupun positif. Ada juga yang tidak sedar dijangkiti (kerana tiada gejala)," katanya lagi.

Namun, katanya lagi, keputusan untuk tidak lagi mewajibkan pemakaian pelitup muka sudah dibuat, jadi langkah seterusnya adalah mendidik orang ramai.

"Mereka perlu tahu, siapa, bila dan di mana perlu memakai pelitup muka," katanya.

Katanya lagi, pendidikan kesihatan juga perlu menumpukan aspek lain, antaranya kesihatan mental dan psikososial.

"Saya harap kerajaan hari ini memperuntukkan dana dalam Belanjawan 2023 untuk pendidikan kesihatan ini," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS