Presiden PKR Anwar Ibrahim digesa segera mewujudkan jawatankuasa inkuari bagi menyiasat apa yang dinamakan sebagai “pembelasahan” dan “pembalunan” hutan simpan di Selangor.
NGO yang dikaitkan dengan PKR, Otai Reformis 1998, berkata kerajaan Selangor umpama sudah hilang kawalan sebagai ombudsman atau penjaga hutan simpan.
"PKR dan parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang lain harus berani bertindak dengan ‘mengambil tindakan politik’ untuk memberhentikan pembalunan hutan yang tidak terkawal ini.
"Anwar pernah satu ketika mengutuk dan menghentam pemimpin-pemimpin Umno/BN dan kroni-kroni mereka yang membelasah hutan balak dan mengaut kekayaan dari aktiviti pembalakan dalam kempen-kempen ceramah politiknya.
"Sekarang rakyat sedang menunggu Anwar bersuara lantang menegur kerajaan Selangor yang sedang dalam mode ‘mengila’ membelasah hutan-hutan simpan sejak beberapa tahun kebelakangan ini," kata setiausahanya Abdul Razak Ismail.
Dalam kenyataan hari ini, Razak berkata dia pelik Anwar, timbalannya Rafizi Ramli serta pemimpin kanan PKR umpama “bisu” dalam isu ini, termasuk yang baru didedahkan media di Bukit Lagong.
Abdul Razak berkata demikian susulan laporan Malaysiakini bahawa terdapat syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Selangor terbabit dalam 27 kuari baru di hutan Bukit Lagong berdekatan Selayang, Sungai Buloh dan Rawang.
Dua daripadanya adalah GLC milik penuh kerajaan negeri, Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Amirudin Shari.
Pemaju ketiga ialah Koperasi Jabatan Perhutanan Negeri Selangor Berhad, yang keanggotaannya terbuka kepada kakitangan atau pesara Jabatan Perhutanan Selangor.