Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'MPN sudah beri cadangan tapi kerajaan tak bertindak'
Diterbitkan:  Sep 27, 2022 6:53 PM
Dikemaskini: 10:53 AM

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin membalas kritikan Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dipengerusikannya gagal memberi impak yang berkesan kepada negara.

Muhyiddin berkata peranan MPN hanyalah untuk memberikan nasihat dan banyak syor yang dikemukakan majlis itu tidak dilaksanakan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan kabinet.

Terdahulu, peranannya sebagai pengerusi MPN dikritik oleh sejumlah pemimpin BN apabila dia mencadangkan agar Ismail Sabri membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya jika gagal menguruskan ekonomi negara.

Dalam kenyataan hari ini, Muhyiddin berkata antara syor yang diberikan adalah berkaitan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MPKS).

Dia berkata pada 18 Mei lalu MPN menghantar memorandum kepada kabinet yang mencadangkan penerusan moratorium pinjaman kepada MPKS.

Katanya, dia sekali lagi membangkitkan cadangan itu dalam kenyataan bertarikh 12 September namun kerajaan dilihat tidak membincangkannya.

"Saya berasa agak hairan kerana memorandum jemaah menteri mengenai perakuan ini telah pun diangkat kepada kabinet pada 18 Mei 2022.

"Adakah kabinet tidak membincangkan perakuan penting MPN ini dalam mesyuaratnya lebih empat bulan yang lalu? Atau memorandum ini dibentangkan kepada kabinet tetapi tidak dibincang secara terperinci?" soalnya.

Ahli parlimen Pagoh itu berkata ia amat mengecewakan memandangkan MPKS menyumbang kepada 37 peratus KDNK negara namun tiada tindakan diambil untuk membantu pemulihan mereka.

Sementara itu, dia berkata MPN juga telah menggesa kerajaan untuk menangani masalah kekurangan pekerja migran yang dihadapi MPKS sejak Disember lalu namun sehingga kini ia belum diselesaikan.

Tiada kuasa

Selaku pengerusi MPN, kata Muhyiddin, dia tiada kuasa untuk memberi arahan kepada menteri atau mana-mana pengarah jabatan kerajaan.

Kuasa itu terletak pada perdana menteri dan kabinet, katanya.

"Saya tidak berniat untuk menuding jari kepada sesiapa. Tujuan saya ialah supaya semua pihak sedar bahawa negara kita tidak berada dalam situasi yang baik pada masa ini," katanya lagi.

Dia berkata petunjuk positif berkenaan ekonomi dan pertumbuhan pada masa ini hanya bersifat sementara dan negara mungkin berdepan kemelesetan pada tahun depan jika langkah segera tidak diambil.

"Saya harap perdana menteri dan kerajaan memberikan tumpuan utama kepada usaha melaksanakan langkah lebih berkesan untuk memulihkan ekonomi negara dengan lebih cepat dan meringankan beban rakyat terutamanya akibat kenaikan harga barang dan kadar inflasi," katanya.

Selain Muhyiddin, MPN turut dianggotai Menteri Kewangan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Menteri Pertahanan, Menteri Kerjaraya, Menteri Pendidikan, Menteri Kesihatan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Ketua Setiausaha Negara.

Ia turut dianggota pakar ekonomi, sosial dan pendidikan serta wakil parti-parti pembangkang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS