Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Permohonan Nik Abduh guna khidmat MPKB bukan salah guna kuasa'

Permohonan Ahli Parlimen Bachok Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz untuk mengunakan perkhidmatan Majlis Perbandaran Kota Bharu -Bandaraya Islam (MPKB-BRI) sempena kenduri perkahwinan dua anaknya bukan penyalahguaan kuasa, kata Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Dr Izani Husin.

Menurutnya, permohonan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) itu adalah prosedur biasa yang dibuat oleh Nik Mohamad Abduh.

"Tidak (melibatkan penyalahgunaan kuasa). Ia permohonan biasa.

"Sesiapa pun boleh memohon, ada bayaran (dikenakan) dan sekiranya khemah masih ada," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Izani Husin

Izani yang juga ahli dewan undangan negeri (Adun) Kijang berkata demikian ketika ditanya sama ada permohonan berkenaan membabitkan penyalahgunaan kuasa.

Terdahulu, Pengerusi DAP Lim Guan Eng menyeru SPRM untuk menyiasat Nik Mohamad Abduh Nik atau menyerbu MPKB-BRI untuk meneliti dakwaan kemungkinan berlaku penyalahgunaan kuasa berkaitan kenduri perkahwinan anaknya.

"SPRM telah menyerbu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 19 September lalu dipercayai berkaitan projek tebatan banjir.

"Adakah SPRM akan menyiasat Ahli Parlimen PAS Bachok Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz atau menyerbu MPKB kerana salah guna kuasa melibatkan perkahwinan anak perempuannya seperti yang dilakukan SPRM terhadap MBSA," soal Lim pada kenyataan Ahad lalu. 

Ia selepas Malaysiakini melaporkan dalam surat yang ditandatangani Nik Abduh bertarikh 20 Sept, antara lain meminta PBT terbabit menyediakan beberapa kemudahan untuk melicinkan perjalanan sebuah majlis yang berlangsung Sabtu lalu. 

Semalam Nik Mohamad Abduh dilaporkan mengesahkan pihaknya menerima bantuan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi kerajaan dalam menganjurkan majlis kenduri perkahwinan dua anaknya itu.

Sementara itu Izani sebaliknya berkata, dia percaya permohonan Nik Mohamad Abduh itu tidak diluluskan oleh MPKB-BRI.

"Rasanya tidak (lulus), Nik Abduh guna khemah swasta yang tiada di MPKB-BRI jenis itu.

"Menjadi hak sesiapa saja untuk mohon, tetapi yang meluluskan adalah kerja MPKB-BRI," jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS