Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis Kelantan nafi kejadian kes culik di pekarangan sekolah
Diterbitkan:  Sep 27, 2022 7:45 AM
Dikemaskini: 11:45 PM

Polis Kelantan menafikan kejadian kes culik di pekarangan sekolah selepas beberapa sekolah di negeri itu memberi peringatan berhubung kejadian seumpamanya.

Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun dalam kenyataan medianya memohon kerjasama rakyat Kelantan khususnya warga maya supaya menghentikan perbuatan menyebar dakwaan kejadian culik sehingga menimbulkan ketakutan dalam masyarakat.

Muhamad Zaki Harun berkata dakwaan cubaan membawa lari atau menculik kanak-kanak di perarangan sekolah yang tersebar di laman media sosial sejak kebelakangan ini didapati tidak berasas.

"Beberapa posting (hantaran) yang dimuat naik dalam media sosial dan ditularkan telah mendorong PDRM khususnya kontinjen Kelantan menjalankan siasatan.

"Dakwaan yang mengaitkan indvidu mencurigakan berada di pekarangan sekolah atau tempat tempat tertentu telah disiasat oleh pihak polis, namun kesemua dakwaan berkenaan tidak menjurus kepada situasi cubaan membawa lari atau menculik kanak kanak," katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Tambahnya, tindakan menyebar bahan atau perkara tidak berasas sehingga boleh menimbulkan kegelisahan awam dan ketakutan dalam masyarakat merupakan satu kesalahan yang boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan (mendatangkan kegusaran awam) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Polis Kelantan pada 22 dan 26 September lepas telah menjalankan siasatan terhadap dakwaan cubaan menculik pelajar sekolah rendah masing masing di daerah Gua Musang, Kuala Krai dan Pasir Puteh.

Hasil siasatan pihak polis mendapati individu yang dikatakan berada di kawasan sekolah berkenaan tidak mempunyai nait untuk menculik sebaliknya mempunyai urusan lain.

Menurut Muhamad Zaki lagi dakwaan sama turut berlaku di daerah Kuala Krai baru baru ini sehingga menimbulkan kebimbangan penduduk di daerah tersebut.

"Bila kita jalankan siasatan, rupa-rupanya individu yang dikatakan cuba menculik itu kakitangan sebuah syarikat perkhidmatan penapis air yang mempunyai urusannya untuk membuat kutipan bulanan dari pelanggan di situ," katanya.

Muhamad Zaki berkata, kejadian seumpama itu turut berlaku di kawasan masjid Muhammadi, Kota Bharu pada awal September lepas sehingga seorang lelaki kurang siuman menjadi mangsa keadaan apabila dibelasah oleh orang ramai kerana didakwa cuba menculik kanak-kanak.

Media sebelum ini melaporkan beberapa sekolah di Kelantan memberi peringatan melalui surat dan pesanan di Whatsapp yang mengingatkan ibu bapa agar mengawasi anak anak mereka sewaktu menghantar dan mengambil pulang anak anak dari sekolah, berikutan risiko menjadi mangsa culik.

Muhamad Zaki meminta orang ramai supaya merujuk sesuatu kejadian dan dakwaan itu melalui sumber sahih termasuklah dari pihak polis supaya tidak berlaku kekeliruan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS