Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kutipan dana untuk Jamal cecah RM300,000
Diterbitkan:  Sep 26, 2022 8:34 PM
Dikemaskini: 12:34 PM

Kutipan dana yang bertujuan membantu Ketua Umno Sungai Besar Jamal Mohd Yunos membayar ganti rugi selepas kalah dalam saman fitnah, dilaporkan telah mencecah RM300,000.

Kutipan dana itu dilancarkan oleh sebuah kumpulan bernama Gabungan Solidariti Anak Selangor (GSAS), semalam.

Ketua GSAS Faizal Zakari berkata kumpulan itu telah mengumpul RM200,000 pada hari pelancaran, dan memberitahu Malay Mail bahawa jumlah itu adalah sekitar RM300,000 setakat pagi ini.

Jamal telah diperintahkan membayar ganti rugi RM300,000 dan kos guaman RM50,000 kepada Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok selepas kalah dalam kes fitnah pada Julai.

Kok telah menyaman Jamal berhubung ucapannya pada 2017 yang menuduh ahli parlimen DAP itu menyalahgunakan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

Jamal telah gagal membayar ganti rugi itu, yang mendorongnya untuk memfailkan notis muflis dua minggu lalu.

Secara berasingan, pemimpin Umno itu juga berhutang RM150,000 sebagai ganti rugi dan sekurang-kurangnya RM30,000 sebagai kos kepada Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah.

Maria menyaman Jamal kerana mengaitkan dia dan Bersih dengan kumpulan pengganas Daesh.

Ganti rugi asal yang diberikan kepada ahli parlimen PKR itu ialah RM300,000 tetapi diturunkan kepada RM150,000 oleh Mahkamah Rayuan.

Kutipan dana untuk Jamal telah mendorong beberapa pengkritik untuk mempersoalkan mengapa Jamal memerlukan kutipan dana sedangkan anaknya menjalani gaya hidup yang didakwa mewah.

Menjawab perkara itu, Ketua Umno Sungai Besar itu berkata kutipan derma oleh GSAS tidak ada kaitan dengan keluarga atau kestabilan kewangannya.

"Tetapi jika kumpulan seperti GSAS bersedia untukbuat kutipan dana dan membantu saya, mengapa saya harus menolak?" katanya.

Dia juga menegaskan bahawa orang lain seperti pengerusi DAP Lim Guan Eng, dan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, juga telah membuat kutipan dana awam untuk guaman mereka.

Sementara itu, dalam perkara berasingan, Kok semalam menuduh Jamal menyertai Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam lawatan ke New York pada hujung minggu.

Kok menggunakan tangkapan skrin video yang dimuat naik oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Ismail Mohamed Said ketika membuat tuduhan itu.

Bagaimanapun, tangkapan skrin itu kelihatan menunjukkan penyokong Ismail dan pegawai kerajaan lain berkumpul untuk menghantarnya di Kompleks Bunga Raya di KLIA.

Jamal telah menafikan mengikut Ismail ke New York, dan berkata dia telah mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan yang perlu.

Kok malam ini menarik balik hantaran media sosialnya yang mengandungi tuduhan itu dan berkata dia melakukan kesilapan serta memohon maaf kepada pemimpin Umno itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS