Penduduk Selangor yang berdepan isu longkang tersumbat boleh merakam video berdurasi 10 saat dan menghantarnya ke talian hotline syarikat pengurusan sisa KDEB, untuk tindakan lanjut.
Talian WhatsApp - 019-2742824 - diaktifkan bagi persiapan menghadapi banjir berikutan hujan lebat mulai November, seperti yang diramalkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
“Bagi memastikan sistem saliran longkang yang baik dan persiapan
menghadapi banjir pada November ini yang diramal oleh MetMalaysia, pihak KDEB Waste Management meminta orang ramai di Selangor melaporkan keadaan longkang tersumbat di kawasan anda dengan menghantar video lokasi berdurasi sekurang-kurangnya 10 saat ke nombor WhatsApp kami.
"Terima kasih rakyat Selangor!" kata pengumuman yang dibuat di akaun Facebook KDEB.
KDEB turut menggesa orang ramai memastikan tiada sampah di dalam longkang dan tidak menimbun sampah berhampiran longkang bagi mengelak ia daripada terjatuh.
Ia juga menggesa orang ramai supaya tidak menyalurkan air sisa isi rumah mereka terus ke longkang kejiranan.
Pada 2016, dilaporkan Majlis Perbandaran Klang membelanjakan RM6 juta untuk mengeluarkan minyak masak mengeras yang menjadi punca longkang perbandaran sumbat.
Pada 6 Sept lepas, Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar Zaini Ujang berkata 90 peratus banjir kilat di negara ini berpunca daripada longkang tersumbat, dipenuhi pasir dan sampah sarap.
“Isunya, kenapa orang ramai membuang sampah? Kadang-kadang, orang yang menyebabkan banjir adalah mereka yang membuang sampah dan Tuhan mendatangkan malapetaka kepadanya dengan menyebabkan banjir di kawasannya,” katanya pada simposium mengenai perubahan iklim di Parlimen.
Bagaimanapun, dia mengakui bahawa perubahan iklim menyebabkan hujan lebih lebat daripada biasa, mengatasi beberapa sistem perparitan sedia ada.
Longkang tersumbat juga dikaitkan sebagai punca banjir di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada hujung minggu lalu.
Sementara itu, pengumuman KDEB mendapat pelbagai sambutan, dengan ada yang menggesa agar usaha sedemikian diteruskan meski bukan musim tengkujuh, manakala yang lain tertanya-tanya berapa lama KDEB akan bertindak selepas aduan video dihantar ke talian hotline.
MetMalaysia meramalkan tempoh monsun timur laut akan membawa hujan lebat berterusan bermula pertengahan November, berkemungkinan membawa kepada banjir besar.
Terdapat juga ribut petir bertaburan, membawa angin kencang, hujan lebat dan banjir kilat pada Oktober, kata jabatan itu.
Fenomena La Nina dijangka berlarutan sehingga awal tahun depan.