Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ramasamy: MIC parti 'ibu kaum India' yang disisih anak sendiri
Diterbitkan:  Sep 26, 2022 3:02 PM
Dikemaskini: 7:16 AM

MIC yang sering menggelarkan dirinya sebagai "parti ibu" kepada kaum India kini telah disisihkan oleh masyarakat itu sendiri, menurut Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy.

Justeru, kata Ramasamy, berbanding sebagai sebuah parti, MIC sepatutnya menyertai Umno - yang sekian lama menjadi talian hayat kepadanya - dan sekadar menjadi sayap mewakili kaum India.

"MIC adalah seperti ibu tanpa sokongan anak-anaknya. Lebih tepat, MIC hanya mendapat sokongan orang Melayu yang setia kepada Umno. Kalau tiada Umno, MIC sudah mati.

"Tidak ada gunanya MIC meminta 12 kerusi parlimen (untuk PRU15) daripada BN. Ia mungkin tidak menang di kawasan-kawasan ini kecuali di Tapah dengan tentangan yang sengit.

"Sudah tiba masanya MIC buat keputusan sama ada mahu terus menjadi parti atau bergabung dalam Umno sebagai sayap untuk kaum India. Ia akan sama seperti perwakilan bukan Melayu atau bukan Islam dalam PAS dan Amanah," kata pemimpin DAP itu dalam kenyataan hari ini.

Kecaman Ramasamy itu susulan dakwaan Timbalan Presiden MIC M Saravanan bahawa DAP akan mengawal pentadbiran negara jika PH menang PRU-15.

Saravanan yang juga ahli parlimen Tapah berkata demikian ketika melancarkan jentera pilihanraya BN di kawasan parlimen itu semalam.

Mengulas lanjut, Ramasamy berkata Saravanan tahu DAP mampu mencabarnya di Tapah.

"Saravanan tahu bahawa gabungan DAP dan PKR mungkin merampas undi kaum India daripada MIC. Malah, calon-calon MIC tidak boleh mendapatkan sokongan daripada masyarakat India.

"Tahu yang dia mungkin akan dikalahkan tanpa sokongan Melayu daripada Umno, dia memuji parti itu dengan mengatakan bahawa mereka mempunyai DNA untuk mentadbir negara," katanya.

Katanya lagi, namun Saravanan lupa DNA tersebut termasuk "terdedah kepada amalan rasuah dan salah laku kewangan".

Sementara itu, Naib Pengerusi DAP Johor Sheikh Umar Bagharib Ali berkata kenyataan Saravanan yang merupakan Menteri Sumber Manusia itu sudah cukup untuk menunjukkan MIC telah menyerahkan kuasa pentadbiran secara veto kepada perdana menteri.

"Pemusatan kuasa yang cukup besar ini menyebabkan kerajaan BN tiada semak imbang, tidak 'accountable' dan gagal menjalankan urusan pentadbirannya secara kolektif. Bahkan MIC ibarat boneka sahaja.

"Dalam keadaan sebegini, adakah MIC akan berjaya untuk membawa isu-isu rakyat? Sebagai sebuah parti adakah MIC boleh berfungsi dengan efektif sedangkan mereka hanya menjadi 'pak turut' kepada perdana menteri Umno?" soalnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS