Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRU semasa tengkujuh: Akmal cabar Umno Johor nyatakan sikap
Diterbitkan:  Sep 26, 2022 1:52 PM
Dikemaskini: 5:52 AM

Umno Johor dicabar untuk menyatakan pendirian mereka berhubung keperluan mengadakan pilihan raya umum (PRU) secepat mungkin ketika sesetengah penduduk di negeri itu sudah berdepan dengan masalah banjir.

Anggota Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir, berkata warga kawasan parlimennya pada awal pagi semalam sudah dikejutkan dengan hujan sangat lebat sehingga mengakibatkan kejadian banjir kilat di 10 kawasan serta di jalan-jalan utama.

Katanya, walaupun Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan fasa peralihan monsun hanya akan berlaku pada Oktober dan Monsun Timur Laut pada Nov, banjir kilat seperti semalam memberi gambaran bahawa negara dan juga setiap negeri termasuk Johor perlu membuat persiapan sebaiknya menghadapi kemungkinan bencana dan keadaan luar jangka hujung tahun ini.

"Mengambil kira kenyataan perdana menteri bahawa tarikh pilihan raya akan bergantung kepada mesyuarat Umno pada 30 Sept ini, adakah pemimpin Umno Johor seperti (Mohamed) Khaled Nordin dan Ahmad Maslan akan menyatakan pendirian secara terbuka mewakili penduduk Johor yang terkesan dengan kejadian banjir untuk menangguhkan hasrat presidennya mengadakan PRU tahun ini?" soalnya dalam kenyataan media, hari ini.

Untuk rekod Mohamed Khaled naib presiden Umno dan bekas bekas menteri besar Johor, manakala Ahmad ialah setiausaha agung parti itu serta ahli parlimen Pontian.

Pada 17 Sept lalu, Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan berkata gabungan itu bersedia untuk mengharungi banjir jika PRU ke-15 diadakan pada musim tengkujuh.

Ia menyebabkan Ahmad Zahid dikecam hebat oleh ramai pihak termasuk pembangkang yang menentang idea mengadakan pilihan raya semasa banjir.

Turut menyatakan rasa tidak setuju ialah Perikatan Nasional yang ditunjangi Bersatu serta PAS.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pula memberi isyarat bahawa PRU ke-15 akan diadakan "tidak lama lagi".

Sementara itu Akmal menyoroti kejadian banjir yang sedang perlaku di parlimennya.

"Daerah Johor Bahru merangkumi lima buah Parlimen iaitu Johor Bahru, Pulai, Iskandar Puteri, Pasir Gudang dan Tebrau.

"Kejadian banjir turut berlaku di daerah Pontian dan Muar yang menyebabkan ada mangsa terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

"Saya difahamkan penduduk di enam buah kampung di sekitar Kayu Ara Pasong, Pontian melaporkan bahawa kejadian banjir kilat semalam antara terburuk yang pernah mereka alami sejak 30 tahun lalu," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS