Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mah ingatkan Teresa Kok acara politik tak dibenarkan di sekolah
Diterbitkan:  Sep 25, 2022 9:11 PM
Dikemaskini: 1:11 PM

Timbalan Menteri Pendidikan Mah Hang Soon menafikan dakwaan yang menuduhkan menghalan sebuah sekolah di Kuala Lumpur agar tidak menyewakan dewan kepada DAP untuk majlis makan malam mengumpul dana.

Timbalan presiden MCA itu menyifatkan Ahli Parlimen DAP Seputeh Teresa Kok sebagai memutar belit perkara yang benar.

Kok awal hari ini berkata dia dimaklumkan bahawa Jabatan Pendidikan dan pegawai Mah telah menghubungi SJKC La Selle dan mendesak supaya tidak menyewakan dewan kepada parti pembangkang.

Mah bagaimanapun berkata ia tidak ada kena mengena dengan kedudukan DAP sebagai parti pembangkang.

Sebaliknya, dia berkata sekolah di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan tidak dibenarkan mengadakan acara politik atau acara keagamaan sensitif, tertakluk kepada peraturan sedia ada.

“Jabatan Pendidikan Kuala Lumpur berkata pegawainya dimaklumkan bahawa dewan SJKC La Salle disewakan untuk aktiviti politik.

“Oleh itu, pegawai berkenaan menghubungi pihak sekolah meminta pihak sekolah mematuhi peraturan (kementerian).

“Baik parti pemerintah mahupun pembangkang tidak dibenarkan menggunakan bangunan sekolah kerajaan untuk aktiviti politik,” jelas Mah dalam satu kenyataan.

Tambahnya, sebagai ahli politik senior, Kok harus sedar bahawa sekolah kerajaan tertakluk kepada undang-undang, justeru dia tidak seharusnya menimbulkan masalah kepada pihak sekolah.

Mah juga menegaskan bahawa lembaga pengarah sekolah tidak pernah dihalang daripada menyewakan dewan untuk majlis perkahwinan, forum, acara kebudayaan dan sebagainya untuk mendapatkan sedikit pendapatan.

DAP Seputeh telah menyewa dewan sekolah itu untuk makan malam mengumpul dana bulan depan, dengan 60 meja sudah terjual.

Kok berkata majlis makan malam itu kini akan diadakan di tempat yang berbeza.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS