Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP Seputeh dakwa timbalan menteri halang sewa dewan sekolah
Diterbitkan:  Sep 25, 2022 4:21 PM
Dikemaskini: 8:21 AM

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim mendakwa Timbalan Menteri Pendidikan Mah Hang Soon menghalang pihaknya menyewa dewan sekolah untuk mengadakan majlis makan malam mengumpul dana bulan depan.

Dalam satu kenyataan, Kok berkata disebabkan itu, DAP Seputeh terpaksa menukar tempat makan malam yang sepatutnya di SJKC La Salle di Kuala Lumpur walaupun telah menjual 60 meja.

Malah, katanya, bahan promosi yang telah disediakan sebelum ini juga perlu diubah.

“Saya dimaklumkan oleh pentadbir SJKC La Salle bahawa sekolah menerima arahan lisan daripada Jabatan Pendidikan untuk menghalang parti pembangkang menyewa dewan sekolah untuk aktiviti.

“Selain itu, pegawai khas timbalan menteri turut membuat panggilan telefon dan menasihatkan pihak sekolah supaya menangani perkara ini dengan berhati-hati dan menghalang Jabatan Pendidikan daripada mengambil tindakan terhadap penjawat kerajaan di sekolah itu,” kata Kok.

Dia menuduh Mah menyalahgunakan kuasanya dan berkata dewan itu dibiayai oleh lembaga sekolah melalui pengumpulan dana sendiri, dengan kuasa untuk membuat keputusan termasuk memberi atau menafikan kebenaran untuk digunakan.

Selain itu, dia berkata menyewa dewan untuk kegunaan awam juga merupakan peluang kepada lembaga sekolah untuk memperoleh pendapatan, dan dana itu boleh digunakan untuk mensubsidi perbelanjaan sekolah.

“Timbalan menteri pendidikan mesti faham bahawa dewan SJKC La Salle masih belum diserahkan kepada Kementerian Pendidikan.

“Oleh itu, kementerian tidak berhak campur tangan dalam isu penyewaan dewan oleh lembaga pentadbir sekolah,” tegasnya.

Malaysiakini telah menghubungi Mah dan pegawainya untuk mendapatkan komen.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS