mk-logo
Berita
'SPRM patut siasat Nik Abduh dakwaan salah guna kuasa isu kenduri kahwin anak'
Diterbitkan:  Sep 25, 2022 2:20 PM
Dikemaskini: 6:26 AM

Pengerusi DAP Lim Guan Eng menyeru SPRM untuk menyiasat Ahli Parlimen Bachok Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz atau menyerbu Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandaraya Islam (MPKB-BRI) untuk meneliti kemungkinan dakwaan penyalahgunaan kuasa berkaitan kenduri perkahwinan anaknya.

"SPRM telah menyerbu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 19 September lalu dipercayai berkaitan projek tebatan banjir.

"Adakah SPRM akan menyiasat Ahli Parlimen PAS Bachok Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz atau menyerbu MPKB kerana salah guna kuasa melibatkan perkahwinan anak perempuannya seperti yang dilakukan SPRM terhadap MBSA," soal Lim pada satu kenyataan hari ini.

Ini selepas Malaysiakini melaporkan dalam surat yang ditandatangani oleh Nik Abduh bertarikh 20 Sept, antara lain meminta PBT terbabit menyediakan beberapa kemudahan untuk melicinkan perjalanan sebuah majlis yang dirancang.

Antara kemudahan yang diminta dalam surat itu ialah meja, kerusi dan hiasan bunga.

"Majlis itu akan diadakan pada 24 September di tempat letak kereta Masjid Tok Guru dan Sekolah Menengah Agama (Arab) Darul Anuar.

"Bagaimanapun, Rosnazli telah menarik perhatian orang ramai dengan enggan mengesahkan soalan mudah sama ada MPKB telah meluluskan permintaan kerjasama oleh Nik Abduh.

"Permintaan Nik Abduh untuk kerjasama daripada MPKB menimbulkan persoalan merisaukan mengenai salah guna kuasa apabila Nik Abduh menggunakan kepala surat rasminya sebagai Ahli Parlimen Bachok," kata Lim.

Lim berkata Nik Abduh sepatutnya menjelaskan apakah yang dimaksudkan sebagai meminta kerjasama daripada MPKB-BRI untuk majlis perkahwinan anak perempuannya itu.

"Biasanya perkhidmatan daripada majlis tempatan ini boleh disediakan dengan bayaran atau pada kadar sewa tertentu yang ditawarkan kepada semua. Nik Abduh tidak menawarkan untuk membayar sebarang bentuk bayaran atau kadar sewa dalam surat rasminya.

"Nik Abduh tidak perlu menggunakan kepala surat rasmi dan status ahli parlimen Bachok untuk mendapatkan kerjasama MPKB untuk acara persendirian keluarga yang tidak berkaitan dengan tugas awam kepada pengundinya.

"Sebab itulah SPRM perlu menyiasat Nik Abduh dan sepatutnya menyerbu MPKB untuk melihat sama ada wujud salah guna kuasa oleh Nik Abduh atau sama ada MPKB cuba menutup kerjasama yang diberikan oleh MPKB seperti yang diminta Nik Abduh.

"SPRM mesti menunjukkan bahawa ia tidak mengamalkan amalan dua darjat antara MPKB dan MBSA," kata Lim lagi.

Yang Dipertua MPKB-BRI, Rosnazli Amin, mengesahkan mengenai permohonan bekas ketua Pemuda PAS itu kepada Malaysiakini.

"Pejabat saya terima surat itu," katanya ringkas, semalam.

Ketika ditanya sama ada MPKB-BRI meluluskan permohonan itu atau sebaliknya, Rosnazli dilihat enggan mengulas lanjut.

"Saya tak catat luluskan pun (pada surat tersebut)," katanya selepas dua kali ditanya sama ada permohonan tersebut diluluskan atau tidak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS