Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syed Saddiq: Ini bukan masa berpolitik tapi bersiap tangani banjir

Mengimbas semula peristiwa banjir besar yang berlaku di beberapa negeri termasuk di Lembah Klang pada Disember lalu, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengingatkan supaya semua parti politik bersiap menolong mangsa banjir dan bukannya memikirkan untuk berpolitik.

“Ini adalah bukan masa untuk berpolitik tapi untuk tolong mangsa banjir.

“Kalau kita buat pilihan raya, macam mana kita nak tolong rakyat?

“Mungkinlah (menteri) datang bawa sekampit beras untuk rakyat, tapi ia tak membantu rakyat,” katanya kepada sekitar 50 hadirin yang hadir ke himpunan ‘Bantah PRU ketika banjir’ di hadapan Sogo, Kuala Lumpur hari ini.

Ahli Parlimen Muar itu berkata semua parti politik sama ada kerajaan mahupun pembangkang perlu memastikan persediaan banjir tersusun rapi di kawasan yang bakal terkesan.

Menyorot semula kemeriahan parti politik yang sedang menyambut kemenangan di pilihan raya negeri (PRN) pada Disember lalu, ketika rakyat di beberapa negeri sedang berdepan dengan banjir, Syed Saddiq berkata dia tidak mahu perkara sama berulang lagi.

Malah katanya, ramai menteri ketika itu sedang melancong ke luar negara ketika penduduk di Sri Muda, Shah Alam berdepan dengan banjir, sehingga meragut nyawa ahli keluarga mereka.

“Kalau banjir berlaku, adakah kami ingat dia (menteri) kisah dengan nasib dan kebajikan rakyat? Sebab bila PRU, menteri fokus utama mereka adalah cari undi dan rakyat mati (akibat banjir).

“Kita tak nak perkara berulang, tak nak lagi penduduk Sri Muda dikejutkan dengan keluarkan mayat, datang gambar sukarelawan di Sri Muda, di Pahang, mereka trauma sehingga hari ni kerana mayat di hadapan mereka,” katanya.

Pada 17 Sept lalu, Zahid menegaskan kemahuan parti itu agar PRU15 diadakan segera walaupun negara berkemungkinan berdepan dengan ancaman bah besar serta musim tengkujuh.

Perdana Menteri Ismail Sabri yang juga naib presiden Umno turut menyatakan PRU akan diadakan "tidak lama lagi" meskipun tiada sebarang isyarat jelas mengenai langkah ke arah itu.

Fikirkan sengsara rakyat

Himpunan yang berlangsung hampir dua jam itu menyaksikan beberapa wakil rakyat dan pimpinan parti yang menggesa supaya PRU15 tidak diadakan sewaktu musim tengkujuh, yang dijangka bermula Oktober hingga Mac.

Antara yang hadir menyuarakan gesaan itu merupakan Adun Pasir Pinji Howard Lee, Adun Bukit Tunku Lim Yi Wei, Ahli Jawatankuasa Muda Nurainie Haziqah Shafii dan Adun Puteri Wangsa Amira Aisya Abd Aziz.

Ketika berucap, Amira berkata mangsa-mangsa banjir masih trauma dengan kesan banjir yang menjejaskan sebahagian besar kehidupan mereka.

“Adakah (Presiden Umno) Zahid Hamidi fikir tentang rakyat? Nak tunggu apa,(supaya) baru pemimpin BN fikirkan nyawa rakyat.

“Adakah nak tunggu lebih ramai rakyat Malaysia yang sengsara dan kehilangan nyawa baru nak tolong rakyat?” soal timbalan presiden Muda itu.

“Kita kena desak Zahid turun ke lapangan (untuk) lihat sengsara rakyat… Selagi dia duduk kat atas, dia tak faham kesengsaraan rakyat,” katanya.

Manakala Ainie pula dalam gesaannya mendesak dua tuntutan kepada kerajaan iaitu agar PRU15 tidak diadakan sehingga tamat penggal dan meminta agar kerajaan menunjukkan pelan mitigasi dan pelaksanaan menghadapi banjir.

“Ramai (daripada Umno-BN) kata dah bersedia untuk banjir dan PRU.

“Tapi di peringkat atasan Umno tu, mereka tak bersedia sebenarnya, (sebab) mereka sedia untuk tak masuk penjara.

“Jangan adakan pilihan raya. Fokus kepada isu rakyat,” katanya.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memberi peringatan sekiranya PRU ke-15 dilaksanakan pada pertengahan November, kemungkinan bakal berdepan banjir besar kerana angin monsun timur laut aktif ketika itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS