Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PRU15 awal? Kabinet bimbang tiga perkara, kata sumber

Sekurang-kurangnya tiga perkara menjadi kebimbangan jemaah kabinet sebelum bersetuju untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada tahun ini.

Sumber di Putrajaya memberitahu Malaysiakini selain musim banjir, jemaah menteri juga mempertimbangkan keputusan enam negeri yang tidak setuju untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya parlimen dibubarkan dalam tempoh terdekat.

"Isu musim banjir diketahui umum. Banyak pihak bersetuju bahawa PRU tidak boleh diadakan jika terdapat banjir besar, seperti kebiasaan di Pantai Timur.

"Kalau dulu, banjir teruk cuma di Kelantan dan Terengganu sahaja. Tapi, lihat tahun lepas, negeri Selangor pun boleh dilanda banjir teruk sehingga mengorbankan nyawa.

"Jadi, perkara ini perlu diambil kira. Lupakan pengangkutan pengundi. Bagaimana, pegawai SPR nak masuk keluar dari pusat mengundi? Takkan kita pakai bot untuk keluar masuk," kata sumber itu.

Sementara itu, sumber yang dekat dengan anggota kabinet berkata memang terdapat perbincangan mengenai pilihan raya umum akan datang.

"Tetapi, bukan secara terperinci. Kabinet lebih fokus kepada persiapan kerajaan pusat menghadapi musim banjir.

"Apa yang saya boleh sahkan, tarikh PRU masih tidak ditetapkan," katanya kepada Malaysiakini.

Perdana menteri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini memberi bayangan PRU15 mungkin lebih awal, setelah dia mendapat desakan berbuat demikian daripada pemimpin Umno, khususnya presiden parti Ahmad Zahid Hamidi.

Ismail yang juga naib presiden Umno sebelum ini berkata PRU15 paling lewat boleh diadakan pada Julai (2023), apabila tamat tempoh (penggal) bagi pilihan raya umum yang lalu.

Dalam perkembangan sama, sumber tersebut turut memberitahu selain isu cuaca, kabinet juga berbincang mengenai enam negeri tidak bersedi membubarkan DUN bersama-sama kerajaan pusat.

"Jika, enam negeri ini tidak membubarkan DUN, maka kos untuk PRU akan berganda kerana perlu mengadakan PRN secara berasingan.

"Ini membuat beberapa menteri tidak bersedia untuk PRU awal," kata sumber itu lagi.

Untuk rekod, Kedah, Pulau Pinang, Kelatan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan mengumumkan tidak akan mengadakan pilihan raya negeri, jika PRU15 diadakan lebih awal.

Kedah, Terengganu dan Kelantan diterajui oleh PAS yang juga sebahagian kerajaan pusat. Manakala, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan pula ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH).

"Perkara ketiga menjadi kebimbangan ialah Akta Anti Lompat.

"Walaupun, undang-undang ini telah diluluskan di pusat, ia masih tidak dikuatkuasa di peringkat negeri.

"Jadi, ada kemungkinan drama lompat parti selepas PRU nanti. Ada cadangan perkara-perkara ini perlu diselesaikan sebelum PRU diadakan," katanya.

Untuk rekod, pada 28 Julai, Dewan Rakyat meluluskan pindaan perlembagaan berhubung tindakan melompat parti, menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti.

Ia diluluskan untuk bacaan ketiga walaupun terdapat ahli parlimen yang berpendapat ia tidak bersifat menyeluruh berhubung isu berkenaan.

Namun, terdapat gesaan bahawa semua kerajaan negeri perlu membentangkan enakmen antilompat parti ini di peringkat DUN.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS