Majikan disaran agar menyegerakan pengambilan pekerja asing berikutan masih terdapat kelewatan dalam proses pengambilan pekerja oleh golongan itu meskipun kelulusan sudah diberikan oleh kerajaan.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata perkara itu adalah tanggungjawab pihak majikan kerana kerajaan hanya berperanan dalam menyelesaikan dan memberi kebenaran bagi kira-kira 400,000 kuota kepada mereka.
“Ini seolah-olah memberi gambaran terdapat masalah di peringkat kementerian, kementerian sudah tiada isu lagi. Di peringkat kementerian, kita hanya (laksanakan) sehingga selesaikan (isu berkaitan) MOU (memorandum persefahaman) antara negara-negara sumber dan pemberian kuota atau kelulusan.
"Setakat ini, kita tidak boleh menentukan negara mana yang kita perlu ambil sebab kita ada lebih kurang 14 negara sumber. Ramai orang arif dengan perkara ini, Kementerian Sumber Manusia hanya memberi kelulusan khas dan majikan yang perlu putuskan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program Hari Bertemu Pelanggan di Menara Manickavasagam di Kuala Lumpur hari ini.
Luluskan Sri Lanka bekal pekerja
Saravanan berkata pekerja dari Bangladesh dan Indonesia sering menjadi pilihan majikan berikutan aspek bahasa, agama dan budaya namun beliau menyeru agar mereka turut mengambil pekerja dari negara lain.
“Jangan hanya bergantung kepada satu negara sahaja kerana apabila kita bergantung kepada satu negara, banyak syarat ditetapkan apabila kita bincang MOU dan sebagainya,” katanya sambil menambah bahawa pekerja dari Sri Lanka juga berkhidmat dalam sektor pembantu rumah sebelum ini.
Semalam, beliau memaklumkan bahawa kerajaan meluluskan permohonan rasmi Sri Lanka untuk membekalkan tenaga kerja dan memohon kuota sebanyak 10,000 susulan krisis ekonomi yang melanda negara itu ketika ini.
Mengulas kekurangan pekerja di restoran, Saravanan berkata isu itu dijangka dapat diselesaikan minggu depan.
“Sebelum ini, ada pihak mempertikai sama ada kita mengehadkan hanya 25 agensi tetapi sekarang kita sudah menambah bilangannya.
“Jemaah Menteri telah memutuskan untuk menambah sehingga 100 agensi (dari Bangladesh) dan setakat hari ini, kita sudah luluskan 75 agensi,” katanya.
- Bernama