Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda Umno cadang PRU15 awal sebelum musim tengkujuh
Diterbitkan:  Sep 22, 2022 3:57 PM
Dikemaskini: 8:36 AM

Ketua Pemuda Umno Asyaraf Wajdi Dusuki bersetuju supaya pilihan raya umum ke-15 (PRU) tidak diadakan semasa musim tengkujuh tahun ini.

Sebaliknya, dia mencadangkan supaya Dewan Rakyat dibubarkan awal Oktober bagi membolehkan PRU15 diadakan pada awal November iaitu sebelum ramalan hujan lebat yang dibuat oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM).

“Saya juga bersetuju bahawa PRU wajar ditangguhkan jika banjir benar-benar berlaku.

“Persoalannya bolehkah PRU diadakan sebelum musim banjir?” soalnya dalam satu catatan di Facebook hari ini.

Dia seterusnya mencadangkan Parlimen dibubar pada awal Oktober terutamanya pada 7 sehingga 10 Oktober ini, iaitu tarikh Belanjawan 2023 dijadual dibentangkan.

“Umpamanya jika dibubar pada awal Oktober, maka PRU 15 dapat dan sempat dibuat pada awal November, iaitu dua hingga tiga minggu sebelum ramalan hujan lebat,” katanya.

Menurut Asraf Wajdi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga mampu membuat persiapan yang sewajarnya meskipun mereka hanya mempunyai masa selama empat minggu.

Sebagai dalil, dia memberikan contoh semasa PRU14 pada tahun 2018, yang menyaksikan SPR mampu dan boleh menganjurkan pilihan raya dalam masa sebulan.

“Rekod PRU14 ialah, parlimen dibubar pada 7 April 2018, dan SPR buat PRU pada 8 Mei 2018 (dalam masa kurang empat minggu).

“Makanya, berdasarkan kepada rekod kerja SPR, PRU yang lepas dan mengambil kira ramalan banjir JMM yang menjadi nas dan dalil utama masa kini, membuktikan kita masih sempat dan dapat mengadakan PRU sebelum musim banjir tahun ini jika dewan dibubar awal Oktober,” katanya.

Tarikh PRU15 menjadi topik hangat yang sering dikemukakan sejak kebelakangan ini.

Antara yang paling lantang dan konsisten mendesak supaya PRU15 segera diadakan ialah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang baru-baru ini berkata, selaku pengerusi BN dia sanggup "meredah banjir untuk berkempen."

Pengkritik, bagaimanapun, menyifatkan desakan Zahid sebagai "langkah terdesak" untuk menyelamatkan dirinya daripada pelbagai pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah dan rasuah, yang dia sedang dibicarakan.

Mandat kerajaan Ismail Sabri Yaakub akan berakhir selepas pada pertengahan tahun depan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS