Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib 'didera': Mana budaya memaafkan Melayu Islam, tanya Ti
Diterbitkan:  Sep 22, 2022 3:33 PM
Dikemaskini: Sep 23, 2022 1:01 AM

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Ti Lian Ker, hari ini membangkitkan persoalan mengenai budaya bermaaf-maafan yang dekat dengan orang Melayu serta Islam di negara ini dan mengaitkannya dengan Najib Razak.

Kata Ti, dia kadang-kadang tidak dapat memahami perasaan kebencian yang ada pada orang politik di negara ini.

Menurut Ti, dia melihat ada antara mereka yang tidak jemu-jemu mahu melihat bekas perdana menteri berkenaan terseksa dan sengsara di penjara.

"Tak cukupkah didera minda, fizikal dan semangatnya? Manalah budaya maaf-maafan orang Melayu dan Islam?" ciapnya di Twitter pagi tadi.

Pandangan diberi naib presiden MCA itu dibuat ketika pelbagai pihak mendesak agar kerajaan menjelaskan "layanan istimewa" yang diberikan kepada Najib.

Ahli parlimen Pekan itu kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas disabitkan bersalah atas semua tujuh pertuduhan membabitkan tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pengubahan wang haram dan satu salah guna kuasa.

Dia diarah menjalani hukuman tersebut di Penjara Kajang. Bagaimanapun atas faktor kesihatan anak perdana menteri kedua Malaysia itu kini ditempatkan di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC).

Menurut Jabatan Penjara Malaysia, Najib dirawat di situ kerana keadaan kesihatannya dikatakan tidak memuaskan dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan perintah agar dia dibawa ke HRC.

Najib sepatutnya dihantar semula ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara sebaik sahaja pakar perubatan HRC atau Hospital Kuala Lumpur memberikan pelepasan.

Keberadaan Najib itu kemudian mencetuskan polemik dalam kalangan ahli politik dengan sesetengahnya mendesak dia tidak diberi keistimewaan kerana statusnya sebagai banduan adalah sama dengan tahanan lain.

Selain sudah disabitkan bersalah atas tujuh pertuduhan, Najib kini dibicarakan untuk beberapa kes lain melibatkan 1MDB dan laporan audit mengenai syarikat milik penuh kerajaan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS