mk-logo
Berita
Butiran status kesihatan Najib: KKM terikat Akta Perubatan
Diterbitkan:  Sep 22, 2022 10:24 AM
Dikemaskini: 2:24 AM

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak dapat mendedahkan lebih banyak maklumat mengenai status kesihatan bekas perdana menteri Najib Razak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata KKM terikat dengan etika ditetapkan.

Katanya sebarang maklumat terperinci mengenai kesihatan seseorang pesakit - termasuk Najib - hanya boleh didedahkan kepada mahkamah dan ia pun bergantung kepada perintah dikeluarkan badan berkenaan.

Noor Hisham menjelaskan, Najib dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dirawat oleh pakar perubatan susulan perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Sept lalu susulan keadaan kesihatannya yang didakwa tidak memuaskan.

"Ia adalah selaras dengan Seksyen 37 Akta Penjara," katanya.

Tambah Noor Hisham, siasatan secara klinikal, rawatan dan pemantauan telah dijalankan oleh KKM dan laporan perubatan berkenaan akan dikemukakan kepada mahkamah atas perintah.

"Pada masa yang sama KKM mempunyai tanggungjawab mematuhi tataetika kerahsiaan pesakit di bawah Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012).

"Sebarang maklumat terperinci mengenai kesihatan seseorang pesakit hanya boleh dikemukakan kepada mahkamah (sekiranya diarahkan Mahkamah)," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Semalam Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, mendedahkan Najib dipindahkan ke Hospital Rehabilitasi Cheras di Kuala Lumpur kerana memerlukan fisioterapi.

Khairy menegaskan ahli parlimen Pekan itu - yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram - tidak diberikan layanan istimewa.

Bagaimanapun, menteri itu tidak memberikan butiran lanjut mengenai penyakit Najib.

Khairy turut mendedahkan dia telah mengarahkan HKL menjalankan siasatan terhadap ciapan Twitter yang didakwa dibuat oleh salah seorang doktor yang merawat Najib dan mendedahkan maklumat mengenai ahli politik terbabit.

Beberapa pemimpin pembangkang semalam turut mempersoalkan sama ada Najib diberi layanan istimewa di penjara atau sebaliknya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS