Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRU musim banjir: 'Ucapan Zahid macam perumpamaan orang bercinta'

Umno Kelantan menyifatkan kenyataan presidennya berhubung isu mengadakan PRU15 pada musim tengkujuh hanyalah perumpamaan yang menggambarkan semangat dan persediaan parti itu.

Ketua Penerangan Umno negeri, Zawawi Othman berkata, ucapan Zahid itu hanyalah gambaran betapa Umno bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa.

"Ia bukanlah bermaksud kita nak buat pilihan raya pada musim banjir, cuma perumpamaan.

"Macam orang tengah bercintalah, lautan api sanggup ku renangi, onak dan duri sanggup diredahi. Orang tengah bercinta semangatnya berkobar-kobar," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, semalam.

Zawawi yang juga ketua Umno bahagian Pasir Puteh itu berkata demikian ketika ditanya sama ada parti itu di peringkat negeri bersedia sekiranya PRU15 berlaku pada musim tengkujuh.

Kelantan merupakan antara negeri yang sering terjejas dan berisiko berdepan banjir pada musim tengkujuh.

Terdahulu Pada 17 Sept lalu, Zahid menegaskan kemahuan parti itu agar PRU15 diadakan segera walaupun negara berkemungkinan berdepan dengan ancaman bah besar serta musim tengkujuh.

Perdana Menteri Ismail Sabri yang juga naib presiden Umno turut menyatakan PRU akan diadakan "tidak lama lagi" meskipun tiada sebarang isyarat jelas mengenai langkah ke arah itu.

Dua parti yang menyertai kerajaan Ismail Sabri - PAS dan Bersatu - pula sudah menyatakan pendirian mereka untuk menunggu sehingga tahun depan bagi mencadangkan pembubaran parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu Zawawi berkata, PRU pada musim tengkujuh pastinya akan dielak.

"Jika tengkujuh tak semestinya berlaku banjir, kerajaan pastinya akan ambil langkah terbaik," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS