Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Projek durian Gunung Lambak: Tak perlu EIA, kerja pulih tanah akan dibuat

Pemilik kepada projek ladang durian yang dicadangkan di Gunung Lambak di Kluang, Johor, tidak perlu menghantar laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) memandangkan tanah itu berstatus tanah pertanian sejak 1944, menurut Pegawai Daerah Kluang Jamaludin A Hamid.

Jamaludin berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati projek di atas tanah pertanian persendirian berkeluasan 37 hektar itu bukan projek penanaman baru yang memerlukan penukaran status tanah.

"Pada mulanya JAS berkata mereka perlu hantar laporan EIA.

"Namun ketika mesyuarat Selasa lalu (13 September), mereka dapati EIA tidak perlu kerana itu adalah projek penanaman semula dan bukan permohonan (penanaman) baru," katanya.

Pihak berkuasa telah mengarahkan pemilik tanah untuk melakukan kerja pemulihan tanah terbelih dahulu sebelum rancangan projek itu dinilai untuk kelulusan.

Katanya, pemilik tanah dijangka melaksanakannya minggu depan dengan panduan Jabatan Pertanian.

"Jabatan Pertanian cadangan pemilik untuk tutup tanah dengan tanam pokok, rumput signal dan rumput vetiver.

"Jabatan akan beri panduan dan peruntukan untuk penanaman pokok," katanya lagi.

Jamaludin

Mesyuarat itu disertai pemilik tanah, JAS, Jabatan Pertanian, Jabatan Saliran dan Pengairan, Jabatan Perhutanan dan wakil pihak berkuasa tempatan.

Pemantauan tiga bulan

Jamaludin menegaskan pihak berkuasa akan terus memantau kerja pemulihan tanah dan kemampuan menahan air kawasan itu selama tiga bulan.

Ini bermakna rancangan penanaman durian perlu ditangguhkan sepanjang tempoh itu.

Pemilik tanah juga perlu menghantar dokumen untuk projek tersebut kepada Jabatan Pertanian.

"Pemilik tanah sepatutnya jalankan kerja penanaman semula (pokok durian) secara berperingkat, bukan tebang semua pokok dan tumbuhan sekaligus dan tak boleh tinggalkan tanah (tanpa pokok).

"Keutamaan sekarang adalah untuk mereka pulihkan tanah, penanaman durian belum (diluluskan).

"Selepas tiga bulan kita akan tengok, mungkin mereka cuma perlu gali lubang untuk pokok durian dan tidak tebang semuanya sebelum tanam," katanya lagi.

Dia juga mengesahkan pemilik telah mula membina dua kolam tadahan sebelum ini tetapi setakat ini ia belum siap.

Pihak berkuasa tempatan sedang menimbang untuk membenarkan pemilik membersihkan dan mengeluarkan pokok yang sudah ditolak dan mati di situ sebelum kerja pemulihan tanah dimulakan.

Sementara itu, Jamaludin berharap penduduk Kluang tidak akan keliru dengan kerja pembersihan itu dan menganggapnya sebagai kegiatan pembalakan haram. Menurutnya, pemilik tanah memberi kerjasama penuh setakat ini.

Minggu lalu, dia memberitahu Malaysiakini bahawa pemilik perlu menghantar EIA memandangkan projek itu terletak di kawasan cerun.

Bukan habitat gajah

Sesetengah penduduk menyuarakan kebimbangan projek itu akan memusnahkan habitat gajah dan menyebabkan haiwan itu sekali lagi merayau ke kawasan berpenduduk.

Berkenaan perkara itu, Jamaludin menjelaskan tiada gajah yang hidup di tanah pertanian persendirian itu.

Pada bulan lalu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengesahkan ada lebih 10 gajah liar dikesan di sekitar Taman Seri Impian, Kluang.

Sejak bulan lalu, terdapat beberapa insiden di Kluang di mana kenderaan bertembung dengan gajah atau pemandu cuba mengelak melanggar haiwan itu sehingga terbabas, yang menyebabkan satu kes kematian.

Berkenaan banjir lumpur di Taman Megah dan Taman Bahagia - dekat projek itu - yang berlaku minggu lalu, Jamaludin berkata punca utama adalah longkang yang tersumbat.

Selepas kejadian itu, katanya, kerja pembersihan dan penyelenggaraan sistem saliran dan pengairan telah dilakukan sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh akan datang.

Bantahan penduduk

Pada minggu lalu, Malaysiakini melaporkan Steadfast Properties Sdn Bhd telah membeli 17 plot tanah di Gunung Lambak pada tahun lalu untuk menanam pokok durian Musang King.

Tanah itu terletak bersebelahan dengan Hutan Simpan Renggam dan telah ditukar status sebagai tanah pertanian persendirian sejak 1944,

Projek itu mengundang bantahan penduduk yang bimbang dengan risiko banjir dan tanah runtuh apabila mereka melihat pokok di Gunung Lambak ditebang.

Gunung Lambank juga menjadi lokasi pendakian dan rekreasi popular di kalangan penduduk setempat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS