Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Kerajaan diberi amaran agar tidak tekan doktor yang rawat Najib

Pemimpin pembangkang hari ini memberi amaran kepada kerajaan agar tidak menekan pegawai perubatan yang merawat Najib Razak supaya mereka bertindak di luar kehendak mereka.

Ini susulan dakwaan berleluasa bahawa sistem penjagaan kesihatan awam kini disalahgunakan untuk memberi bekas perdana menteri yang disabitkan kesalahannya - sepatutnya menjalani hukuman penjara 12 tahun - layanan istimewa dan beberapa kemudahan lain.

Bercakap kepada Malaysiakini, Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii berkata doktor yang merawat Najib mesti dibenarkan menjalankan tugas mereka secara profesional.

Dr Kelvin Yii

“Kementerian Kesihatan harus menangani dakwaan sedemikian, dan membenarkan pakar perubatan menjalankan tugas mereka tanpa gangguan.

"Semua keputusan perubatan harus dibuat semata-mata atas pertimbangan perubatan, dan bukannya pertimbangan lain," katanya kepada Malaysiakini.

Yii, yang mempengerusikan Jawatankuasa Pilihan Parlimen mengenai kesihatan, berkata walaupun banduan perlu diberikan hak penjagaan kesihatan, namun tiada sesiapa pun harus mendapat layanan istimewa.

Sering keluar-masuk penjara

Najib dikatakan sering keluar-masuk hospital sejak dihantar ke penjara akhir bulan lalu.

Dua minggu lalu, dia dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) atas alasan ulser perut - yang didakwa keluarganya disebabkan oleh tekanan.

Dia kemudiannya dibenarkan keluar, tetapi dimasukkan semula ke HKL minggu lalu selepas mendakwa tidak sihat akibat masalah tekanan darah pula.

Susulan itu, timbul dakwaan tular yang mendakwa Najib - dengan nama kod Merpati - akan dihantar ke Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) supaya dia boleh mendapat lebih banyak keistimewaan lain, antara lain akses kepada pelawat.

Terdapat juga dakwaan bahawa sel Najib di penjara Kajang telah diubah suai.

Jabatan Penjara hari ini mengesahkan bahawa Najib telah dipindahkan ke HRC pada Isnin lalu, tetapi memberi jaminan akan dihantar semula ke Penjara Kajang sebaik sahaja diberikan kelulusan perubatan.

Langgar undang-undang

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago, mempersoalkan apakah keperluan Najib untuk dirawat di pusat rehabilitasi kerana sakit ulser dan darah tinggi.

Dia berkata memindahkan ahli parlimen Pekan itu ke HRC menimbulkan banyak persoalan mengenai tadbir urus yang perlu dijawab oleh Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin - yang menyelia penjara - dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

"Saya akui kenyataan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob supaya Najib diberikan penjagaan kesihatan terbaik, tetapi adakah yang terbaik bermakna melanggar undang-undang?" soalnya.

Charles Santiago

Dia berkata jika Najib diberi lebih banyak kebebasan daripada memenuhi keperluan sebagai seorang banduan semasa di HRC, ini pada asasnya melanggar peraturan penjara.

Menggunakan sistem kesihatan untuk didakwa memendekkan tempoh Najib di penjara juga meletakkan pegawai kesihatan awam dalam "kedudukan yang sangat sukar" untuk bertindak bertentangan dengan kehendak mereka, kata ahli parlimen DAP itu.

Dedah buku log pergerakan Najib

Justeru, katanya, antara isu yang kerajaan mesti telus ialah dengan mendedahkan buku log pergerakan Najib keluar masuk penjara, serta pengunjung yang melawatnya.

Dia berkata jika kerajaan, dan khususnya Hamzah, tidak menangani dakwaan sedemikian dengan segera, maka laporan polis atau siasatan awam untuk menyiasat perkara itu adalah wajar.

Sementara itu, Naib Presiden Muda Lim Wei Jiet turut menyuarakan sentimen bahawa pakar kesihatan yang merawat Najib mesti dibenarkan menjalankan tugas mereka secara profesional dan tanpa gangguan.

Dia berkata adalah mengejutkan jika sebarang tekanan dikenakan ke atas pegawai kesihatan untuk memberi layanan istimewa kepada bekas perdana menteri itu.

“Jika kamu seorang banduan biasa, tidak sekali-kali dalam sejuta tahun kamu akan dapat layanan istimewa seperti itu.

"Menteri Dalam Negeri dan Ketua Pengarah Jabatan Penjara mesti mengeluarkan kenyataan yang tegas bahawa tekanan sedemikian tidak boleh diterima sama sekali," kata Lim.

Tubuh panel pakar perubatan bebas jika ada gangguan

Dia berkata, akses kepada Najib dan doktor di HKL atau HRC mesti dihadkan kepada ahli keluarga terdekat atau peguam sahaja.

Najib Razak

Mengenai jika terdapat keperluan untuk panel pakar perubatan bebas ditubuhkan bagi menilai kesihatan Najib, Yii dan Charles berkata ia tidak perlu.

Yii berkata adalah memadai untuk pakar perubatan di HRC memantau Najib - jika mereka dibenarkan beroperasi secara bebas.

Bagaimanapun, sekiranya doktor dan jururawat menghadapi tekanan yang tidak wajar, Lim berpendapat bahawa panel bebas seperti itu perlu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS