Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang mempersoalkan sikap berdiam diri Kementerian Dalam Negeri dalam isu "Merpati" yang mendakwa bekas perdana menteri Najib Razak diberi keistimewaan tertentu ketika menjalani hukuman penjaranya.
Dalam satu kenyataan, pemimpin veteran DAP itu mempersoalkan sama ada jika KDN mengambil masa yang begitu lama untuk respons kepada dakwaan tersebut, ia bermakna dakwaan yang tersebar itu adalah benar.
“Di manakah pasukan respons pantas KDN mengenai isu “Merpati” yang mengatakan Najib Razak menerima layanan istimewa di penjara atau adakah tuduhan ini sebenarnya betul?
“Siaran media sosial Merpati ini telah berlegar selama dua hari dan tidak mungkin pihak berkuasa belum sedar mengenainya.
“Pihak berkuasa di KDN dan Jabatan Penjara perlu sedar yang 24 jam adalah tempoh yang amat lama dalam era media sosial, apatah lagi 48 jam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dia merujuk kepada mesej tanpa nama yang mendakwa Najib (yang menggunakan kod nama Merpati) diberi layanan istimewa di penjara Kajang, tempat banduan itu kini menjalani hukuman 12 tahun berikutan sabitan dalam kes SRC International.
Antara lain, mesej itu mendakwa sel Najib di kompleks Penjara Kajang telah diubah suai dan ada rancangan untuk memindahkannya ke Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) bagi membolehkan lebih banyak akses kepada pelawat dan kemudahan VVIP.
Hari ini, Jabatan Penjara Malaysia mengesahkan bahawa bekas perdana menteri sedang mendapatkan rawatan dan pemantauan lanjutan di HRC.
Dalam satu kenyataan, jabatan itu berkata, selaras dengan Seksyen 37 Akta Penjara, Najib dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan oleh pakar perubatan susulan perintah Mahkamah Tinggi pada 12 September lalu susulan keadaan kesihatannya yang tidak memuaskan.
Semalam, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli memberitahu Malaysiakini, bahawa tulisan-tulisan di Facebook Najib tidak menggambarkan keadaan kesihatannya yang teruk.
Sebaliknya, bekas perdana menteri BN itu, menurut Rafizi, kelihatan seperti mempunyai akses bebas kepada dunia luar.
Selain mengesahkan Najib sedang dirawat di HRC, jabatan penjara tidak menyebut tentang dakwaan layanan istimewa kepada bekas perdana menteri itu mahupun mengenai selnya yang dikatakan telah diubah suai.
Pada masa sama, Lim turut menggesa supaya KDN membawa perkara berkenaan ke mesyuarat kabinet hari ini, sekiranya ia tidak dijawab melalui kenyataan media.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar semalam turut menuntut jawapan dari kerajaan mengenai mesej tular di media sosial itu, memandangkan dia yang sebelum ini dipenjarakan di penjara Kajang tidak pernah menerima sebarang layanan istimewa.