Seorang anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) melancarkan kempen bawa sendiri bekas minuman bagi mengurangkan penggunaan plastik bungkus sekali guna.
“Plastik ini pakai petroleum yang banyak untuk kita buat plastik.
“Jadi memang tak mesra kepada perubahan iklim kalau kita nak pakai plastik”, kata Adun Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran.
Bekerjasama dengan beberapa peniaga di beberapa tempat di Petaling Jaya, mereka memperkenalkan jualan gelas dengan harga RM10.
Bagaimanapun bagi setiap pembelian pengguna akan diberikan kad diskaun RM10, yang memberikan diskaun RM1 setiap pembelian dan boleh digunakan sepuluh kali.
Justeru, katanya, gelas itu seolah-olah diberi percuma.
“Beli cawan RM10 dapat percuma (kad diskaun) RM10,” katanya dalam sidang media di salah sebuah gerai yang mengambil bahagian.
Buat masa ini, katanya, terdapat lapan gerai mengambil bahagian.
Kejayaan di tangan pelanggan
Sementara itu, pengusaha gerai Norlela Harun, 46, berkata dia mengikuti program itu kerana ia idea yang bagus.
“Tak apalah kalau kita mencuba (jayakan kempen ini)”, katanya.
Bagaimanapun, katanya, kejayaan program itu terletak pada tangan pelanggan.
“Berjaya tak berjaya terletak pada pelanggan, kita boleh mencuba saja”, katanya yang sudah 37 tahun berniaga di situ.