Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM jawab Muhyiddin: Kalau k'jaan dianggap gagal, Bersatu juga gagal

Selepas disindir oleh Muhyiddin Yassin pagi tadi, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, jika benar kerajaan gagal menguruskan ekonomi seperti didakwa ahli parlimen Pagoh itu, Bersatu turut 'menyumbang' kepada situasi tersebut.

Bercakap kepada media di Putrajaya, Ismail Sabri mengingatkan, dalam kabinet sekarang, ada beberapa pemimpin Bersatu turut menganggotainya.

Kata perdana menteri, tugas menangani ekonomi Malaysia bukanlah terletak pada bahunya seorang, sebaliknya turut dikongsi ramai menteri.

Seorang daripada mereka, menurut naib presiden Umno itu lagi, ialah ahli parlimen Bersatu, Mustapa Mohamed, yang juga ahli parlimen Jeli.

Ketika ini Mustapa diberi tanggungjawab sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri dengan pengkhususan bidang hal ehwal ekonomi.

"Mengenai ekonomi, kita ada Datuk Seri Mustapa Mohamed yang menguruskan ekonomi.

"Kita juga ada Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dipengerusikan oleh Muhyiddin sendiri," katanya.

Tambah Ismail Sabri, MPN itu bertanggungjawab menasihatkan kerajaan mengenai pelbagai perkara termasuk berkaitan sektor ekonomi.

Justeru katanya lagi jika kerajaan dianggap gagal menangani krisis yang berlaku sekarang, MPN turut bertanggungjawab ke atas isu berkenaan.

"Kalau (saya) gagal, maksudnya kita semua gagallah, termasuk MPEN juga," katanya.

Belum sampai tahap mendesak

Ahli parlimen Bera itu juga memberitahu media, dia tidak tahu motif di sebalik kenyataan dibuat Muhyiddin mengenai dirinya pagi tadi dan setakat ini tidak memiliki maklumat lanjut mengenainya.

Pagi tadi Muhyiddin berkata, Ismail Sabri terus gagal menguruskan masalah ekonomi negara ketika semakin ramai rakyat bergelut dengan kesusahan hidup.

Muhyiddin yang juga presiden Bersatu dan pengerusi Perikatan Nasional mendakwa, ada bermacam isu sedang dihadapi rakyat di negara ini namun perdana menteri dilihat tidak menganggap ia sebagai sesuatu yang penting untuk diatasi.

Pada masa yang sama, kata Muhyiddin, BN giat mendesak Ismail Sabri agar menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan parlimen.

"Saya belum sampai ke tahap mahu mendesak perdana menteri supaya membubar Parlimen.

"Tetapi saya pun terfikir, jika perdana menteri terus gagal menguruskan ekonomi dan negara dengan baik, eloklah pilihan raya (umum) diadakan supaya sebuah kerajaan baru yang lebih cekap, prihatin dan bebas rasuah dapat dipilih oleh rakyat," katanya.

Pelantikan Muhyiddin sebagai pengerusi MPN itu diumum Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali, pada 4 Sept 2021 selepas mendapat perkenan Agong.

Jawatan Muhyiddin itu, kata Mohd Zuki, bertaraf menteri.

Menurut Ismail Sabri, dia akan membawa isu kritikan Muhyiddin itu ke mesyuarat kabinet pada Rabu ini untuk dibincangkan dan akan bertanya kepada Mustapa mengapa bekas pemimpin Umno itu tidak menyerahkan laporan mengenai prestasi ekonomi negara.

"Jika Muhyiddin kata dia nak PRU awal - atas sebab apa sekali pun - kami akan bincangkan dalam kabinet, sebab kita ada wakil dari semua parti termasuk Bersatu, GPS (Gabungan Parti Sarawak) dan Umno," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS