Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peruntukan RM291.4j untuk bomba naik taraf fasiliti, tambah aset

Kerajaan meluluskan peruntukan RM291.4 juta pada tahun ini bagi menaik taraf fasiliti serta menambah aset milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Reezal Merican Naina Merican.

"Peruntukan ini diluluskan Kementerian Kewangan khusus untuk memastikan khidmat kebombaan dan penyelamatan JBPM setanding dengan negara-negara maju," katanya ketika berucap merasmikan Seminar Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (Pindaan 2021) di Putrajaya hari ini.

Menerusi peruntukan itu, JBPM akan menerima enam buah Fire and Rescue Boat (FRB) bernilai RM15.5 juta, lima jentera Urban Search and Rescue (RM7.5 juta) dan 150 unit Compact Fire Rescue Tender (CFRT) (RM145.8 juta) secara berperingkat.

Sebanyak RM49 juta diperuntukkan untuk pembangunan projek Command, Control, Communications, Computers and Intelligent (C4iFRDM) bagi mempertingkatkan sistem komunikasi kecemasan JBPM, manakala RM33.6 juta bagi menaik taraf Pejabat Pangkalan Udara (MOB) Bomba di Subang, Selangor, katanya.

Hampir RM40 juta disalurkan untuk pembangunan Fasa 3 Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Terengganu yang meliputi pembangunan fasiliti latihan seperti Simulator Latihan Air Pantas, Kompleks Latihan Menyelamat Air, Kecemasan Lebuhraya dan Penyelamat Kemalangan Trafik serta Simulator Memadam.

Dalam sidang media selepas itu, Reezal Merican berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengemukakan senarai keperluan untuk Belanjawan 2023 dan berharap kerajaan akan memberikan peruntukan lebih tinggi untuk JBPM.

Pada 26 Ogos lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2023 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Oktober.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS