Isteri kepada juruterbang yang maut dalam nahas helikopter terhempas di Hutan Simpan Chikus, Bidor baru-baru ini, telah menuntut mayat mendiang di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.
Isteri mangsa yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard tiba kira-kira 10.40 pagi dengan ditemani seorang wanita, manakala mayat mendiang dibawa keluar dari jabatan forensik tersebut pada 11.15 pagi.
Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Leung berkata pihaknya akan mengadakan pembakaran mayat Tsz Kin Richard Chan di Ipoh dan abu mayat mendiang akan dibawa pulang ke Hong Kong sebelum disemadikan mengikut upacara keagamaan.
Leung yang bertutur dalam Bahasa Kantonis bagaimanapun enggan mendedahkan lebih lanjut lokasi pembakaran mayat.
Dalam kejadian 11 Sept lepas, juruterbang warganegara Hong Kong berusia 58 tahun itu maut apabila helikopter yang dipandunya dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah di sini, terhempas di hutan tersebut.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong dilaporkan berkata pesawat jenis Eurocopter EC120B milik syarikat swasta itu gagal dihubungi selepas berlepas dari Subang dan terputus hubungan radio dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) pada 12.16 tengah hari.
Dalam pada itu, berlaku kekecohan di pekarangan Jabatan Forensik HRPB apabila kumpulan petugas media yang membuat liputan dihalang daripada menghampiri bangunan dan hanya dibenarkan berada di pagar jabatan tersebut.
Pengawal keselamatan turut mengekori petugas media yang mahu menggunakan tandas di blok terbabit.
Lebih 10 orang pengamal media yang membuat liputan berasa kurang senang dengan tindakan tersebut dan aduan telah pun diajukan kepada Jabatan Kesihatan Negeri serta pihak hospital bagi mencari penyelesaian terbaik dan memudahkan liputan pada masa hadapan.
- Bernama