Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PRU awal supaya hentikan PH menghasut rakyat benci BN - Zahid
Diterbitkan:  Sep 19, 2022 12:10 PM
Dikemaskini: 6:30 AM

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi terus mendesak supaya parlimen dibubarkan secepat mungkin supaya pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dapat diadakan tahun ini.

Kali ini, alasan yang digunakannya adalah masa yang berbaki sebelum parlimen dibubarkan sekarang digunakan oleh musuh BN dengan memburukan gabungan itu.

“Mereka berterusan memburukkan BN dan ini sesuai dengan ungkapan (Timbalan Presiden PKR) Rafizi Ramli tugas mereka ialah menghasut rakyat agar membenci BN.

“Namun kita perlu buktikan bahawa hasutan mereka kali ini tidak akan berjaya. Rekod 22 bulan Pakatan Harapan ialah bukti nyata mereka hanya menjual harapan semata-mata,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Dua hari lalu, Zahid menimbulkan kontroversi dengan berkata, BN, khususnya Umno sedia meredah banjir mahupun hujan lebat jika PRU15 diadakan tahun ini.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memberi peringatan sekiranya PRU ke-15 dilaksanakan pada pertengahan November, kemungkinan bakal berdepan banjir besar kerana angin monsun timur laut aktif ketika itu.

Susulan kenyataan itu, pelbagai pihak mengecamnya. Timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, Umno seolah-olah lupa kepada kesengsaraan yang dialami rakyat akibat bencana banjir yang berlaku sebelum ini manakala Timbalan Presiden Amanah, Salehuddin Ayub pula hasrat Zahid itu sebagai tidak berhati perut terhadap rakyat.

Bagi Zahid, pembangkang cuba menghasut rakyat kononnya supaya PRU tidak diadakan tahun ini supaya mereka mempunyai lebih masa menghasut rakyat agar tidak mengundi BN.

“Mereka (PH) lupa bekas PM terakhir mereka Dr Mahathir Mohamad sendiri pernah mengadakan PRU pada November 1999 tak pula jadi isu besar.

“Terbaru tahun lepas PRN Sarawak diadakan pada 18 Disember 2021. Pembangkang pula tewas teruk,” katanya.

Zahid berkata pembangkang mahu PRU15 diadakan tahun depan kerana siri jelajah PH masih sekerat jalan dan dijangka akan hanya berakhir Februari tahun depan.

“BN tidak akan memberikan hayat politik terhadap PH dan musuh BN untuk memberikan mereka kelebihan menyelesaikan jelajah memburukkan BN hingga ke tahun depan!” katanya.

Selain ahli politik, Tokoh Wartawan Negara, A Kadir Jasin pula mengingatkan Ismail Sabri Yaakob, supaya mengambil kira pelbagai faktor sebelum membubarkan parlimen yang tempoh hayatnya hanya akan berakhir selepas pertengahan tahun hadapan.

"Dia perdana menteri, dia tak ada kes prima facie dan dia bertanggungjawab kepada negara dan rakyat jelata. Kalau rakyat menderita atau terkorban kerana banjir sebab kerajaan sibuk dengan pilihan raya, bukan Ahmad Zahid yang tanggung tapi dia,” kata wartawan veteran itu.

Zahid sedang dibicarakan atas 47 pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), rasuah dan pertuduhan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan dana puluhan juta ringgit daripada Yayasan Akalbudi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS