Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jika PM terus gagal urus negara, eloklah adakan PRU - Muhyiddin
Diterbitkan:  Sep 19, 2022 12:03 PM
Dikemaskini: 4:03 AM

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin, menganggap Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob terus gagal menguruskan masalah ekonomi negara ketika semakin ramai rakyat bergelut dengan kesusahan hidup.

Katanya ada bermacam isu sedang berlaku di negara ini namun perdana menteri dilihat tidak menganggap ia sebagai sesuatu yang penting untuk diatasi.

Pada masa yang sama, kata Muhyiddin, BN sedang giat mendesak Ismail Sabri agar menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan parlimen agar pilihan raya umum (PRU) yang baru dapat diadakan.

"Saya belum sampai ke tahap mahu mendesak perdana menteri supaya membubar Parlimen.

"Tetapi saya pun terfikir, jika perdana menteri terus gagal mengurus ekonomi dan negara dengan baik, eloklah pilihan raya (umum) diadakan supaya sebuah kerajaan baru yang lebih cekap, prihatin dan bebas rasuah dapat dipilih oleh rakyat," katanya pada pagi ini.

Kenyataan itu dibuat dua hari selepas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menegaskan pendirian parti itu yang mahu PRU ke-15 diadakan segera.

Pada majlis sama, Ismail Sabri kemudian menyatakan parlimen akan dibubarkan "tidak lama lagi" namun dia tidak menyatakan secara khusus tarikh yang difikirkannya sesuai untuk berbuat demikian.

"Bila tarikhnya? Saya dengan presiden (Umno) akan menentukan. Tetapi percayalah, sikit lagi, tak lama lagi.

Tidak seperti kerajaan sebelum ini, kabinet Malaysia sedang diketuai oleh seorang naib presiden dan Ismail Sabri berada pada kedudukan ketiga di bawah Ahmad Zahid.

Ada makan sekali sehari

Untuk membolehkan parlimen dibubarkan, seorang perdana menteri perlu mendapat persetujuan kabinet terlebih dulu sebelum cadangan tersebut dipersembahkan kepada Agong.

Agong pula berhak untuk bersetuju atau menolak cadangan berkenaan.

Untuk rekod, kabinet yang ada sekarang turut dianggotai wakil dari Bersatu - parti yang diketuai Muhyiddin - dan PAS.

PAS dan Bersatu sebelum ini menunjukkan sikap tidak bersetuju PRU diadakan segera.

Kata Muhyiddin berdasarkan laporan kajian Merdeka Centre for Opinion Research pada Dis 2021, sebanyak 12 peratus rakyat mula mengikat perut dengan makan hanya sekali atau dua kali sehari.

Sebanyak 12 peratus rakyat negara ini juga, katanya, menangguhkan rawatan perubatan dan 31 peratus lewat bayar hutang dan bil kerana tiada wang.

Selain itu, kata Muhyiddin, kajian sebuah entiti bukan kerajaan, Mindshare, menunjukkan 61 peratus rakyat Malaysia berada dalam kumpulan berpendapatan terkebawah (B60), iaitu dengan pendapatan isi rumah kurang daripada RM5,000 sebulan selepas pandemik Covid-19.

Daripada jumlah itu, katanya, 76 peratus berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan.

"Kejatuhan nilai ringgit, kenaikan kadar inflasi dan keadaan ekonomi pasca pandemik telah memberi kesan buruk ke atas kehidupan rakyat," katanya.

Bekas perdana menteri itu lagi turut menyatakan banyak perniagaan atau perusahaan yang terpaksa menutup atau mengecilkan operasi kerana kekurangan tenaga kerja

"Setiap kali mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN), isu kekurangan tenaga kerja sering kali dibangkitkan dan dilaporkan kepada kabinet.

"Namun, setakat ini masih belum ada penyelesaian yang komprehensif dalam isu ini.

"Isu kejatuhan nilai ringgit juga tidak dipandang serius. Perdana menteri tidak tampil menjelaskan langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk membendung kejatuhan nilai ringgit.

"Malah dikatakan ini bukan masalah besar. Kononnya, Malaysia tidak berada dalam krisis. Seolah-olah semuanya dalam keadaan OK.

"Is this okay? No, it is not okay (Adakah ini OK? Tidak, ini tak OK)," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS