Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
GLOBAL l Biden: Wabak Covid-19 sudah berakhir

GLOBAL l Presiden AS Joe Biden dalam satu temu bual yang disiarkan pada Ahad berkata bahawa “wabak sudah berakhir” walaupun negara itu masih bergelut dengan jangkitan Covid-19 yang sudah membunuh ratusan rakyatnya setiap hari

"Pandemik telah berakhir," kata Biden semasa temu bual bersama program "60 Minit" CBS pada Rabu di luar pameran kereta Detroit, acara yang menarik ribuan pengunjung.

“Kita masih mempunyai masalah dengan Covid. Kita juga masih melakukan banyak kerja untuk menanganinya, tetapi wabak ini sudah berakhir.

“Jika kamu perasan, tiada siapa yang memakai topeng. Semua orang nampaknya berada dalam keadaan yang agak baik. Jadi, saya fikir sudah berubah," katanya.

Jumlah kematian akibak wabak Covid-19 berkurangan dengan ketara sejak awal penggal pentadbiran Biden dengan lebih 3,000 rakyat AS meninggal dunia setiap hari ketika itu susulan penjagaan yang dipertingkatkan, ubat-ubatan serta vaksinasi yang dijalankan secara lebih meluas.

Bagaimanapun, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS, hampir 400 orang meninggal dunia setiap hari akibat Covid 19 di negara itu.

Biden sendiri menghabiskan lebih dua minggu kuarantin di Rumah Putih selepas dijangkiti virus terbabit, bermula bulan Julai lalu.

Isterinya, Jill kemudiannya dijangkiti virus berkenaan pada Ogos.

Biden berkata, kes yang semakin berkurangan itu adalah bukti peningkatan dalam penjagaan kesihatan ketika dia menjadi presiden.

Dia telah meminta Kongres untuk menambah dana sebanyak AS$22.4 bilion (RM101 bilion) lagi untuk mempersiapkan kemungkinan lonjakan kes.

- Reuters


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS