Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKR beri ruang untuk parti komponen PH selesai isu dalaman

Rafizi Ramli hari ini menegaskan perbezaan pandangan dalam kalangan parti Pakatan Harapan (PH) adalah perkara biasa dan setiap komponen perlu diberi ruang untuk melakukan penambahbaikan bagi menghadapi PRU ke-15.

Jelas Timbalan Presiden PKR itu, pihaknya tidak akan campur tangan dalam hal dalaman mana-mana parti komponen PH.

"Dalam demokrasi, biasalah... ada perbezaan pandangan. Saya tidak boleh bercakap bagi pihak parti lain.

"Kamu dengar sana sini tapi bagi saya setiap isu mesti dilihat dari isi kandungannya," kata Rafizi semasa sidang media di Kuala Lumpur selepas melancarkan aplikasi CISTA PKR untuk sukarelawan parti itu hari ini.

Rafizi berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Amanah Mohamad Sabu ketika konvensyen tahunan parti itu semalam bahawa PH terus dibelenggu isu dalaman menjelang PRU ke-15.

Katanya setiap parti perlu mengatasi masalah dalaman masing-masing dan perbezaan pandangan yang berlaku bukanlah kerana isu perebutan jawatan sebaliknya untuk mengekalkan idealisme.

"Saya harap rakyat boleh beri ruang kepada kami," kata Rafizi.

Mengimbas kembali pengalaman PKR, Rafizi berkata partinya juga diberi ruang untuk menyingkirkan barisan "oportunis" dan unsur politik wang.

“Apabila PKR terpaksa membersihkan masalah dalaman, pihak lain memberi ruang kepada kami dan cukup memahami bahawa kami telah melalui proses itu.

“Sebagai timbalan presiden PKR, apa saja ruang yang diperlukan, apa yang perlu dilalui komponen ini, masanya untuk PKR menyokong mereka sebanyak mungkin kerana kami diberi ruang untuk berbuat demikian sebelum ini,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS