Naib Presiden Amanah Dr Siti Mariah Mahmud berkata pemimpin parti yang berusia 60 tahun dan ke atas sedia berundur jika benar mereka tidak lagi diperlukan dalam parti.
Mengulas ucapan pemimpin pemuda parti itu, dia berkata keberadaan pemimpin yang veteran dalam Amanah adalah kerana pengalaman yang ada pada mereka.
“Saya berusia 65 pada tahun depan. YB Dzulkefli (Ahmad), 66 tahun. Ramai lagi 60 ke atas tapi kita perlukan beberapa pemimpin 60 ke atas ini kerana wisdom and experience (kebijaksanaan dan pengalaman) mereka.
“Bagi mereka dan kawan-kawan saya yang seangkatan, yang sudah sampai pada satu umur yang kita faham, kalau rakyat ataupun ahli kita dah tak nak kita lagi, we draw respectfully (kami berundur secara terhormat),” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungannya di Konvensyen Amanah di Seremban hari ini.
Semalam, Ketua Pemuda Amanah Kelantan, Hazmi Hassan, berkata sayap pemuda parti itu berasa 'cemburu' dan dan 'terpinggir' apabila Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) akan diberikan kerusi gred A (mudah menang) pada pilihan raya umum akan datang.
Terdahulu, Mariah dalam ucapannya berkata dia agak terkilan apabila sayap pemuda parti memberikan persepsi bahawa orang muda tidak diberikan platform untuk membuat kerja parti.
Dia sebaliknya memberitahu, platform sedia ada yang diberikan kepada pemuda bukanlah dari segi jawatan kerusi tetapi ia lebih kepada manfaat yang dapat disumbangkan kepada parti.
Malah, menurutnya, ia perlulah dilaksanakan secara konsisten, bukannya bermusim.
Mengulas lanjut, Siti Mariah berkata, dia sering melihat mereka yang melakukan kerja-kerja parti masih tidak mencapai tahap yang memuaskan terutamanya semasa mencari penyelesaian dalam isu-isu yang perlu ditangani.
Tambah exco Selangor itu lagi, mereka sepatutnya boleh menonjol dalam sesuatu perkara yang diketengahkan, bukan terikut-ikut dengan rentak pihak lain.
“Kita kena lihat isu-isu yang kita nak tangani dan kita mahir. Jangan orang lain cakap pasal harga barang, kita pun cakap sama, orang cakap hal kewarganegaraan, kita pun cakap juga. Kita kena cakap lebih juga.
“Ada perkara-perkara yang kita perlu ada wisdom dan cambahkan fikiran,” katanya.