Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lelaki Singapura hilang ketika mendaki hutan simpan

Seorang lelaki warganegara Singapura dilaporkan hilang selepas dipercayai sesat ketika mendaki Hutan Simpan Panti Timur di Kota Tinggi, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada seorang lelaki warga tempatan pada jam 3.26 petang.

Katanya lelaki warga tempatan itu yang juga rakan mangsa memaklumkan, dia terputus hubungan dengan Jason Ren Jie, 30-an, semasa mendaki bersama di hutan berkenaan.

"Mereka mula mendaki lebih kurang pukul 11.30 pagi. Pengadu berkata dia terpisah dengan mangsa kira-kira jam 1 tengah hari apabila mangsa dan pengadu berpisah di satu lokasi ketika mendaki.

“Pengadu berjalan dulu manakala mangsa menunggu di belakang. Tetapi, selepas 30 minit menanti, mangsa tidak muncul-muncul. Pengadu cuba mencari semula mangsa tetapi tidak jumpa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, kata Hussin, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Balai Polis Batu Ampat digerakkan ke lokasi kejadian bagi melakukan pencarian mangsa yang dilaporkan sesat.

Operasi mencari dan menyelamat turut dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dari Balai Bomba Kota Tinggi serta Jabatan Perhutanan Wilayah Johor Selatan (Kota Tinggi), katanya.

"Setakat jam 11:30 malam tadi, mangsa masih belum dijumpai dan operasi mencari dan menyelamat dihentikan seketika kerana keadaan persekitaran terlalu gelap dan menyukarkan pencarian. Operasi akan disambung semula hari ini," katanya.

Hussin turut menasihatkan orang ramai yang berhasrat untuk melakukan aktiviti pendakian terutama di kawasan hutan simpan agar mendapatkan permit daripada Pejabat Perhutanan Daerah Kota Tinggi terlebih dahulu dan memaklumkan kepada balai polis yang terdekat bagi mengelak kejadian sebegitu berulang.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS