Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas setiausaha sayap penyokong PAS sertai Amanah
Diterbitkan:  Sep 17, 2022 4:32 PM
Dikemaskini: 8:32 AM

Bekas setiausaha kebangsaan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP), S Barathidasan mengumumkan penyertaannya dalam Parti Amanah Negara (Amanah).

Dalam satu kenyataan hari ini, Barathidasan berkata dia menerima sijil keahlian daripada presiden Amanah, Mohamad Sabu pada Majlis Konvensyen Nasional parti itu yang brelangsung di Kelana Resort, Seremban.

Menurut bekas setiausaha sayap penyokong PAS itu, permohonannya untuk menjadi ahli Amanah telah diluluskan pada 15 April 2021, selepas melepaskan semua jawatan dalam sayap penyokong PAS pada 31 Dis 2020.

"Akhirnya dengan bangga saya mengumumkan bahawa saya kini bersama Pakatan Harapan, akan memikul segala tanggungjawab dan amanat presiden serta visi dan misi parti.

"Saya sertai Amanah bukan mahu jawatan tapi untuk memerangi gejala rasuah, salah laku dan kezaliman kerajaan kini," katanya.

Pada Disember 2020, Barathidasan menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan.

Bagaimanapun peletakan jawatannya hanya disahkan pada Februari 2021 memandangkan DHPP PAS pusat hanya dapat mengadakan mesyuarat ketika itu berikutan penularan wabak Covid-19.

Barathidasan keluar parti berikutan rasa tidak puas hati terhadap PAS dalam mengendalikan isu membabitkan bukan Islam, khususnya di Kedah yang diterajui kerajaan negeri pimpinan PAS.

Pada masa itu, kerajaan Kedah menjadi tumpuan kontroversi setelah dikatakan merobohkan kuil Hindu tanpa berunding dengan kerajaan persekutuan, selain membatalkan cuti Thaipusam sebagai cuti peristiwa, yang menyebabkan kritikan daripada rakan komponen BN, MIC.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS