Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata dia tidak hairan pemimpin nombor satu PAS Abdul Hadi Awang sentiasa berubah-ubah pendiriannya.
Ini susulan kenyataan terbaru presiden PAS bahawa ramai pemimpin PH 'tidak bermoral dan tidak beriman'.
Pun begitu, Mohamad berkata dia "bersimpati dengan Abdul Hadi dan tidak mahu memanjangkan isu" tersebut.
"Saya setuju dengan jawapan Tun (Dr) Mahathir (Mohamad), dulu dia kata Umno tu kafir, sekarang dia kawan dengan Umno, semua kafir jugalah, ini semua kafir belaka.
"Tak perlu kita ulaslah...(Pendirian) presiden PAS ini dia akan berubah tiap-tiap minggu, minggu depan kita tak tahu pula apa akan berlaku...
"Saya rasa dia hadapi masalah dalamanlah, dalaman pemikiran dia," katanya pada sidang media di Konvensyen Amanah 2022 di Seremban, Negeri Sembilan, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad (gambar, bawah) pada sidang akhbar sama mendakwa PAS sudah tidak mempunyai modal selain menjual agama untuk kepentingan politik.
"Dia nak tunjuk prestasi yang baik dalam petadbiran apa yang dia ada dekat Kelantan, dekat Terengganu, Kedah, pelbagai-bagai masalah yang dihadapi oleh rakyat.
"Dia nak cakap apa lagi, kementerian-kementerian yang mereka pegang pun apa prestasinya...apa yang dia ada modal, modal dia hanyalah kafirkan semua orang, semua orang ni tak Islamik, semua ni tak berakhlak, tak bermoral, dia sajalah yang baik.
"..tetapi dari sudut apa yang kita lihat secara praktiknya jauh, apa yang dikatakan dan apa yang diamalkan," katanya.
Abdul Hadi menerusi catatan Minda Presiden PAS, kelmarin menegaskan parti pimpinannya itu tidak akan membentuk kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) termasuk menerusi pendekatan khemah besar dalam pilihan raya umum.
Kata Abdul Hadi, ini kerana PH tidak mampu menegakkan keadilan yang menyeluruh kepada rakyat, walaupun dalam gabungannya terdapat parti yang menjadikan keadilan dan amanah pada jenamanya.
Malah, presiden PAS itu juga mendakwa perkara tersebut kerana ramai dikalangan pimpinan PH 'tidak beriman dan tidak bermoral'.
Menurut Abdul Hadi, PH ketika menghadapi PRU14 pada 2018 juga memperlihatkan parti gabungan pembangkang itu secara terbuka mengumpulkan 'kumpulan pemberi rasuah dan penerima rasuah'.