Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerusi 'gred A': 'Kami yang senior ini tanding 3, 4 kali baru menang'

Kepimpinan Amanah akan mempertimbangkan tuntutan sayap pemuda dan wanita parti itu agar diberikan kerusi ‘gred A’ atau kerusi ‘boleh menang’ pada PRU15.

Perkara itu dinyatakan presidennya, Mohamad Sabu dalam sidang media selepas menyampaikan pidato pada Konvensyen Amanah 2022 di Seremban, Negeri Sembilan, hari ini.

Namun, Mohamad pada masa sama mengingatkan tiada jalan mudah untuk menang di mana-mana kerusi, seperti yang telah dilalui barisan pimpinan sekarang.

"Pemuda, Awan (Angkatan Wanita Amanah) berhak dan kita akan pertimbangkan mana yang terbaik.

"(Namun) Yang pentingnya, peluang bertanding. Kami yang senior dalam parti ini pun, bertanding kali ketiga, kali keempat baru menang," katanya yang juga ahli parlimen Kota Raja.

Mohamad berkata demikian ketika diminta mengulas tuntutan Pemuda dan Wanita parti itu agar pucuk pimpinan parti turut memberikan kerusi ‘gred A’ atau kerusi ‘boleh menang’ kepada mereka dalam PRU akan datang.

Tuntutan terbabit dibuat oleh ketua pemuda parti itu semalam.

Ketua pemuda, Mohd Hasbie Muda ketika menyampaikan pidato pada Konvensyen Pemuda Amanah Nasional berkata, sayap itu menuntut agar kerusi yang diagih perlu setanding dengan kerusi diberikan kepada rakan politik lain iaitu bersifat boleh menang.

Hasbie Muda

"Ada pimpinan abang-abang kata pemuda kena tebas lalang dulu, jadi kita terima (sebagai calon pilihan raya).

"Cuma bila tengok kawan-kawan kita terus masuk (di beri laluan) tak ada (tebas) lalang kita rasa pelik sikitlah," katanya tanpa menjelaskan lebih lanjut siapa pihak yang dimaksudkannya itu.

Namun, dalam PRN Johor lalu, Amanah memberi laluan kepada Muda untuk bertanding di kerusi DUN Puteri Wangsa. Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya Abdul Aziz kemudian menang di kerusi itu dengan majoriti 7,114 undi.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata parti tidak pernah meletakkan apa-apa gred untuk kerusi yang mereka tandingi memandangkan trend pengundian di mana-mana kerusi bukan perkara yang bersifat muktamad.

"Kita pun tak ada meletakkan yang mana (kerusi) gred A,B,C atau D kerana PRU akan datang kita tak tahu trend mengundi kearah mana," katanya ringkas.

Sementara itu, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata PH akan memuktamadkan pembahagian kerusi pada 30 September ini.

"Kita dah buat tiga pusingan rundingan dan saya boleh katakan mesyuarat kita berjalan lancar. Kita berbincang dengan baik dan saya juga boleh sebutkan disini kita sudah mencapai 70 peratus pembahagian telah selesai.

"Tinggal sedikit lagi dan kita selesaikan sebelum 30 September. Jadi, kita tak ada masalah," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS