Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Perbaiki sistem pendidikan agar ibu bapa tak hantar anak ke sekolah swasta'

Kerajaan perlu menambah baik sistem pendidikan kebangsaan untuk meyakinkan ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan berbanding sekolah antarabangsa, kata Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad.

Nik Nazmi berkata, trend semakin ramai ibu bapa kelas pertengahan menghantar anak mereka ke sekolah antarabangsa hanya akan menyebabkan jurang sistem pendidikan di Malaysia kian melebar, terutama jurang antara kaum.

"Ketika zaman saya, kerajaan tidak benarkan kebanyakan rakyat ke sekolah antarabangsa. Ini mungkin pandangan yang tak popular, tapi saya rasa ia dasar yang baik sebab jika anda ke sekolah swasta, anda tetap...melalui sistem pendidikan kebangsaan.

"Saya tak salahkan ibu bapa yang hantar anak (ke sekolah antarabangsa)...tetapi ia memecahkan sistem (pendidikan).

"Kemudian sekolah kebangsaan kian menjadi satu etnik dan hanya dipenuhi satu kaum," katanya dalam forum berkenaan pendidikan sempena Hari Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, ia tidak bermakna sekolah antarabangsa perlu ditutup, tetapi dia hanya membangkitkan beberapa isu dalam sistem pendidikan.

"Kerajaan tiada pilihan selain menjadikan sekolah kebangsaan berjaya dan meyakinkan ibu bapa untuk kembali hantar anak ke sana.

"Ia berjaya dibuat pada masa lalu, dan ia boleh berlaku lagi dengan dasar yang betul," katanya lagi.

Mengimbas kembali pengalamannya membesar di Petaling Jaya, Nik Nazmi berkata dia belajar di sekolah kebangsaan dan memiliki kawan dari pelbagai latar belakang.

Namun, dia berkata sekolah lamanya, Sekolah Kebangsaan La Salle di Petaling Jaya kini diduduki 95 peratus pelajar Melayu.

"95 peratus pelajar di sekolah mubaligh di Petaling Jaya kini adalah Melayu. Ini masalah utama yang kita hadapi di mana kita kian terpisah.

"Malah guru juga kian menjadi satu kaum sahaja. Masalah ini kian memburuk dan anda hanya berada dalam lingkaran sendiri," katanya lagi.

Pada masa sama, Nik Nazmi tidak percaya sekolah vernakular di Malaysia akan ditutup, walaupun ia ada kala menjadi isu politik yang hangat.

Katanya, ini kerana tiada ahli politik yang akan berani berbuat demikian memandangkan kebanyakan ibu bapa Cina dan malah sebilangan ibu bapa Melayu menghantar anak mereka ke sana.

Ain Husniza

Seorang lagi ahli panel, Ain Husniza Saiful Nizam berkata ramai ibu bapa kini tidak lagi percaya sukatan pelajaran kebangsaan.

Membangkitkan pengalamannya sendiri yang diganggu oleh sistem sekolah selepas mendedahkan seorang gurunya yang didakwa membuat jenaka rogol tahun lalu, dia berkata murid rasa tidak selamat dan didiskriminasi dalam sistem sedia ada.

"Apabila diskriminasi seperti ini berlaku, murid tidak akan dapat berkembang kerana mereka sentiasa diganggu," katanya.

Untuk mewujudkan persekitaran selamat di sekolah, Ain berkata perlu ada dasar untuk mengendalikan isu gangguan yang dihadapi murid serta menyediakan ruang untuk mereka bersuara.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS