Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Pemuda Amanah, Hasbie Muda hari ini menuntut parti itu bersikap adil dalam soal pengagihan kerusi parlimen yang diperuntukkan kepada parti berkenaan pada pilihan raya umum (PRU)ke 15 akan datang.

Hasbie juga menegaskan parti itu perlu memberikan hak yang sama dengan parti lain dengan memberikan kerusi gred A kepada mereka iaitu kerusi boleh menang.

"Ada kawan-kawan kita menyatakan kekecewaannya kerana parti kadangkala dilihat lebih terbuka atau lebih mudah melepaskan kerusi yang gred A tetapi kepada sayap pemuda sendiri kerusi national service diberikan.

"Jadi, maknanya kalau kawan-kawan kita boleh bagi kerusi gred A, kita nak sayap Pemuda juga diberikan gred yang sama,” kata Hasbie ketika berucap di Konvensyen Pemuda Amanah Nasional 2022 di Seremban, Negeri Sembilan, hari ini.

Kata Hasbie, pemuda Amanah juga telah bersedia berdepan dengan segala cabaran sebelum ini bagi melayakkan mereka diterima sebagai calon.

Bagaimanapun, Hasbie berkata agak pelik apabila ada pihak dengan mudah memperolehi apa yang mereka inginkan sebelum ini.

"Ada pimpinan abang-abang kata pemuda kena tebas lalang dulu, jadi kita terima (sebagai calon pilihan raya).

"Cuma bila tengok kawan-kawan kita terus masuk (di beri laluan) tak ada (tebas) lalang kita rasa pelik sikitlah," katanya tanpa menjelaskan lebih lanjut siapa pihak yang dimaksudkannya itu.

Untuk rekod, dalam PRN Johor lalu, Amanah menyerahkan kerusi DUN Puteri Wangsa, yang sebelum itu dipegang Bersatu, kepada Muda.

Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya Abdul Aziz kemudian menang di kerusi itu dengan majoriti 7,114 undi.

Dalam pada itu, Hasbie menegaskan tiada jalan mudah untuk meraih undi orang muda hanya dengan berkerjasama dengan parti yang majoritinya orang muda.

Hasbie dipercayai merujuk kerjasama PH dengan Muda dalam PRN Johor lalu dan hasrat parti itu menyertai PH bagi menghadapi PRU15 akan datang.

Sebaliknya, kata Hasbie apa yang perlu diberi tumpuan kini adalah Amanah sendiri perlu segar untuk menarik hati anak muda.

"Hakikatnya tiada jalan pintas meraih undi anak muda dengan hanya menyerap atau menarik pihak sana dan sini dibawah payung besar kita sahaja.

“Wajah atau imej parti Amanah sendiri perlu segar untuk menarik hati anak muda dan pelbagai segmen ini untuk kembali menyokong kita.

"Selain cabaran untuk memenangi undi orang muda, menawan semula pengundi Melayu amat mustahak dan kritikal.

"Umno, PAS dan Bersatu akan terus menggunakan isu ancaman Melayu dan umat Islam untuk menghasut rakyat dan menolak PH. Mereka tak ada modal dari sudut integriti, dari sudut tadbir urus yang baik, dari sudut kejayaan membangunkan negara, mereka tak ada rekod," tambahnya.

Hadir sama pada Konvensyen Pemuda Amanah hari ini adalah Ketua Pemuda PKR (AMK), Adam Adli, Ketua Pemuda DAP (Dapsy), Dr Kelvin Yii Lee Wuen dan Naib Presiden Muda, Zaidel Baharuddin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS