Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pengerusi Media Prima: Dakwaan campur tangan politik dalam NST 'tak berasas'
Diterbitkan:  Sep 16, 2022 8:00 AM
Dikemaskini: 12:00 AM

Pengerusi Kumpulan Media Prima Syed Hussain Aljunid menyangkal dakwaan berlaku campur tangan politik dalam pelantikan Farrah Naz Karim sebagai pengarang kumpulan New Straits Times (NST) yang baru.

Dalam kenyataan malam tadi, Syed Hussain menyifatkan dakwaan itu sebagai sesuatu yang "malang" dan "tidak berasas sama sekali".

"Saya ingin menafikan sepenuhnya sebarang kenyataan bahawa sama ada kerajaan atau mana-mana parti politik terlibat dalam pelantikan ini atau sebarang keputusan lain yang dibuat Media Prima berkenaan perniagaannya.

"Untuk rekod, Media Prima tidak dimiliki mahupun perlu menjawab kepada mana-mana parti politik, seperti yang dinyatakan dalam laporan berita baru-baru ini atau secara lainnya," katanya.

Dia mendakwa tokoh Umno Johari Abdul Ghani, yang merupakan pemegang saham yang signifikan dalam kumpulan syarikat itu, memiliki "rekod hebat dalam mengubah keadaan perniagaan yang bermasalah" - dengan Media Prima mencatatkan keuntungan dalam lapan suku tahunan berturut-turut setelah menanggung kerugian kira-kira tiga tahun lalu.

Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri berkata kerajaan tidak pernah campur tangan dalam operasi organisasi media dan tidak berhasrat berbuat demikian.

Dia bagaimanapun enggan mengulas berhubung dakwaan campur tangan dalam pelantikan Farrah.

Malaysiakini difahamkan petisyen yang ditandatangani kakitangan NST telah diserahkan kepada Ismail Sabri di satu acara di Kuala Lumpur, dua hari lalu.

Pelantikan berdasarkan merit

Syed Hussain menjelaskan hala tuju editorial dan "usaha ke arah sinergi untuk meningkatkan hasil akhir" sentiasa dinilai semula oleh pengurusan NST di bawah pemantauan lembaga pengarahnya.

"Penilaian ini bertujuan meningkatkan keterlihatan dan jumlah pembaca NST, dengan jangkaan ia akan menjadi pemangkin kepada keuntungan dan perkembangan yang mapan.

"Penukaran kakitangan, terutama di peringkat eksekutif dalam piramid bakat kami adalah bahagian yang tak dapat dielakkan dalam penilaian yang dibuat. Pelantikan ini sentiasa dibuat sepenuhnya berdasarkan merit.

"Atas dasar inilah pengurusan melantik Farrah sebagai ketua pengarang kumpulan yang baru," katanya lagi.

Dia turut membangkitkan pengalaman Farrah selama lebih 20 tahun dalam bidang kewartawanan.

Pada Selasa lalu, NST mengumumkan Farrah akan menggantikan Ahmad Lokman Mansor untuk jawatan itu berkuat kuasa semalam.

Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) semalam menggesa pengurusan NST untuk menangani semua kebimbangan berkaitan yang dibangkitkan kerana ia melibatkan reputasi dan integriti media tersebut, dengan sejarah selama 177 tahun dalam bidang kewartawanan.

kumpulan aktivis media bebas, Gerakan Media Merdeka (Geramm) juga menggesa pengurusan NST untuk menyediakan ruang untuk perbincangan dan libat urus dengan kakitangannya berkenaan perkembangan ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS