Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dakwa wartawan: Pertahan media bukan hanya di bibir, kata PH
Diterbitkan:  Sep 15, 2022 7:00 PM
Dikemaskini: 11:00 AM

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob digesa menarik balik pertuduhan fitnah jenayah terhadap wartawan dari The Edge jika dia benar-benar mempertahankan kebebasan media seperti yang diperkatakannya.

Majlis Presiden PH berkata jaminan yang diberi Ismail Sabri sebelum ini bertentangan dengan pertuduhan yang dikenakan terhadap wartawan dan dakwaan campur tangan politik dalam media.

"Beberapa hari lalu, kita membaca mengenai pelantikan pengarang kumpulan akhbar New Straits Times (NST) yang baru, yang didakwa pelbagai pihak termasuk tokoh wartawan telah dibuat atas campur tangan politik.

"Ini satu perkara yang amat dikesali dan PH mengambil pendirian bahawa parti politik tidak patut mencampuri urusan organisasi media terutama seperti yang kita saksikan ini.

"Kami juga kesal dengan tindakan kerajaan melalui timbalan pendakwa raya yang telah mendakwa dua pengamal media dari akhbar The Edge di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan, iaitu jenayah fitnah," kata Majlis Presiden PH dalam kenyataan hari ini.

Majlis itu menggesa kerajaan agar menarik balik pertuduhan itu.

" jika pihak-pihak yang terkesan punyai keinginan, mereka boleh memfailkan saman sivil terhadap media tersebut," katanya.

Majlis Presiden PH menegaskan media memainkan peranan penting terutama dalam memberikan semak dan imbang terhadap kerajaan dan menjamin ketelusan.

"Oleh itu, jaminan perdana menteri ini perlu dizahirkan bukan sahaja di bibir, tetapi melalui tindakan-tindakan yang selaras dengan jaminan tersebut," katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil, Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad, Setiausaha Publisiti DAP Teo Nie Ching dan Ketua Penerangan Upko Joisin Romut.

Semalam, Ismail Sabri berkata kerajaan tidak pernah campur tangan dalam operasi organisasi media dan tidak berhasrat berbuat demikian.

Ia selepas dakwaan campur tangan politik dalam NST yang pada Selasa lalu mengumumkan pelantikan wartawan veteran Farrah Naz Karim sebagai pengarang kumpulan yang baru, menggantikan Ahmad Lokman Mansor.

Ismail Sabri juga enggan mengulas pertuduhan fitnah jenayah terhadap bekas pengarang The Edge Ahmad Azam Mohd Aris, dengan berkata dia tiada maklumat berhubung kedua-dua perkara itu.

'Takutkan pelabur'

Sementara itu, Ahli Parlimen Sepang dari Amanah, Mohamed hanipa Maidin mengingatkan kerajaan bahawa keputusannya untuk membuat dakwaan itu boleh menjejaskan imejnya.

Katanya, kerajaan menunjukkan kepada pelabur bahawa ia bersifat menekan.

"Kerajaan mungkin melihat dua wartawan ini hanya sebagai pendakwaan jenayah...Apa yang mungkin mereka tidak sedar adalah komuniti pelabur melihat perkara ini sebagai pendakwaan yang menekan.

"Sebagai wartawan The Edge, kita mungkin boleh anggap mereka sebagai dalam kalangan wartawan elit. Pembaca akhbar itu adalah komuniti korporat," katanya dalam kenyataan.

Hanipa berkata dia yakin banyak pelabur asing yang menjadikan The Edge sebagai antara rujukan dalam membuat keputusan berkaitan pelaburan di Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS