Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Alor Setar mungkin pilihan KJ, ramai ‘hulubalang’ di kerusi lain

Logik jika Khairy Jamaluddin bertanding di kerusi parlimen Alor Setar pada pilihan raya umum akan datang, menurut penyandangnya Chan Ming Kai.

Ahli parlimen PKR itu berkata menteri kesihatan sendiri menyebut untuk bertanding di Kedah walaupun secara bergurau, dalam satu perbincangan pada Jun lalu.

“Pada masa itu, saya hantar mesej kepadanya mengenai beberapa perkara rasmi. Kemudian dia bergurau dia kebetulan berada di Kedah untuk majlis menteri serta periksa sama ada terdapat kawasan untuknya bertanding di negeri itu.

"Saya memberitahunya bahawa jika dia datang ke Alor Setar, saya mungkin mempertimbangkan untuk pertahankan (kerusi saya) kerana dia adalah lawan yang hebat," tambahnya.

Chan Ming Kai

Oleh itu, Chan berkata dia tidak terkejut membaca laporan media bahawa penyandang ahli parlimen Rembau (Negeri Sembilan) itu akan bertanding di Alor Setar, yang merupakan kerusi tradisi MCA.

Walaupun popular, Chan berkata Khairy sukar untuk mengambil alih kerusi Umno sekarang kerana dia bukan sebahagian daripada kepimpinan parti.

Chan berkata jika sebaliknya, Khairy boleh ke kerusi yang pernah disandang bapa mentuanya, bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi, seperti Kepala Batas atau Tasek Gelugor.

“Bagaimanapun, Umno ada warlords (hulubalangnya) di mana-mana (kawasan) dan mereka tidak akan lepaskan kerusi mereka. 

“Jadi sekarang akar umbi Umno akan menggunakan nama besar seperti Khairy untuk merebut kerusi yang MCA atau MIC tidak boleh menang,” tambahnya.

Chan berkata tidak kira Umno menang atau tidak, parti itu tidak akan hilang mana-mana kerusinya kerana ia asalnya milik MCA.

Kerusi Seremban 

Chan juga menegaskan bahawa Khairy tidak pernah menyatakan minat untuk bertanding di kerusi Seremban kerana ia hanyalah cadangan daripada pemimpin bahagian Umno.

Di kerusi Alor Setar pula, akar umbi Umno bahagian mempertikaikan bahawa calon Umno di Alor Setar berbanding calon daripada MCA, yang kalah kerusi kepada PKR dalam dua pilihan raya berturut-turut, mempunyai peluang yang lebih cerah untuk menang.

Komposisi kaum di kerusi itu - 64 peratus pengundi Melayu, Cina (23 peratus), India (tujuh peratus), dan lain-lain (enam peratus).

“Memandangkan Umno mahu merampas kerusi MCA, yang MCA mempunyai peluang lebih tinggi untuk menang, mengapa Khairy perlu bertanding di Seremban (yang mempunyai peratusan pengundi Melayu yang lebih rendah berbanding Alor Setar)?” kata Chan.

Chan menyamakan keadaan Khairy dengan bekas menteri besar Johor Abdul Ghani Othman, yang bertanding di Gelang Patah pada pilihan raya umum ke-13. 

Kawasan itu merupakan bekas kerusi MCA juga.

Ditanya sama ada Khairy boleh diletakkan di Port Dickson, Chan berkata tidak menjadi masalah bagi Umno untuk mengambil alih kerusi MIC di Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, dia telah menegaskan bahawa menteri itu perlu berdepan dengan presiden PKR dan ketua pembangkang Anwar Ibrahim di negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Anwar Ibrahim

“Jika dia mahu kekal di Negeri Sembilan, Tampin lebih sesuai. Tetapi dia perlu berdepan dengan warlords Umno di sana,” tambahnya.

Lawan yang hebat

Pada masa  sama, Chan berkata jika Khairy berpindah ke Kedah, PH mesti memperbetul strategi pilihan raya.

"Saya akui Khairy adalah lawan yang hebat…Penampilannya di Kedah akan membawa beberapa cabaran kepada kami, terutamanya jika kami mempertimbangkan untuk meletakkan muka baru di Alor Setar," katanya.

Chan berkata PH Kedah telah memulakan rundingan kerusi di negeri itu tetapi tiada keputusan dibuat sama ada dia akan mempertahankan kerusi Alor Setar atau bertanding di tempat lain.

Isnin lalu, Khairy bergurau semasa sidang media di Langkawi bahawa dia berada di negeri itu untuk berbincang dengan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mengenai kerusi untuk ditandingi.

“Ibu saya orang Kedah,” katanya ketika ditanya sama ada akan mempertimbangkan untuk bertanding di kerusi selain Rembau.

Muhammad Sanusi Md Nor

Sanusi, yang berada di sebelah menteri itu, menyindir bahawa dia mendengar Khairy menyebut Alor Setar dan mengalu-alukannya untuk bertanding di negeri itu.

Bagaimanapun, Khairy enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Umno Alor Setar Zambri Mat mendedahkan bahawa prospek Khairy di kerusi itu dibincangkan secara “tertutup” semasa pertemuan antara pemimpin Umno Kedah baru-baru ini.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS