Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada siapa boleh atasi undang-undang Allah - presiden PAS
Diterbitkan:  Sep 15, 2022 11:01 AM
Dikemaskini: 3:43 AM

Presiden PAS Abdul Hadi Awang menegaskan komitmen parti itu menangani rasuah dan salah laku dengan pendekatan Islam yang sempurna dan holistik, daripada pendidikan yang sempurna dari sudut roh dan jasad, individu dan masyarakat.

"PAS beristiqamah menentang segala dosa besar dan dosa kecil, termasuklah rasuah dan segala jenis salah laku yang berlaku di semua peringkat.

"Termasuklah melalui media yang berakhlak, bukan sahaja sistem kehakiman yang benar-benar sempurna dan hukuman yang adil, tegas dan mendidik berkonsepkan Hakimiyah Allah (tiada sesiapa boleh mengatasi undang-undang Allah).

"Rasulullah SAW sendiri mendedahkan dirinya agar dihukum sekiranya bersalah.

"PAS dengan kemampuan mentadbir kerajaan negeri dan beberapa kementerian yang diamanahkan dengan bidang kuasa yang terhad tetap berusaha membuktikan Islam sahaja berjaya mencipta integriti yang sebenarnya, tidak palsu dan berpura-pura," katanya pada hantaran di media sosial hari ini.

Pada catatan Minda Presiden PAS hari ini, Abdul Hadi mengimbau mengapa parti itu menolak untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) walaupun "dijemput menyertainya sebelum PRU-14."

PAS tak percaya PH boleh ubat penyakit rasuah BN

Jelasnya, PAS mempunyai pengalaman yang paling lama dalam bertahaluf dengan beberapa parti yang ada bersamanya.

"PAS tidak bersedia untuk memasuki khemah besar PH kerana tidak boleh memberikan kepercayaan kepadanya untuk mengubati penyakit salah laku dan rasuah yang membarah dalam BN sehingga menumbangkannya.

"Hal ini demikian kerana, tokoh-tokoh yang sama di dalamnya menjadi punca rasuah tersebut serta mencipta tokoh-tokoh muda yang diajar dengan amalan rasuah," dakwanya pada hantaran Minda Presiden PAS di media sosial.

Abdul Hadi menyoal, bagaimana pengundi muda boleh mengangkat "individu sepertinya" untuk menjadi penentang rasuah dan salah laku.

"Penyelesaiannya laksana perhitungan dua campur dua dan dua kali dua, jawapannya sama iaitu empat," dakwanya tanpa menamakan orang yang dimaksudkannya itu.

Gambar fail, pentadbiran PH.

Maka, kata Abdul Hadi PAS selanjutnya menolak PH yang mentadbir selepas PRU14 kerana menyifatkan "kerajaannya laksana pokok yang tidak berakar tunjang dengan teguh."

"Faktor itu menjadi sebab kuasanya boleh dicabut dengan mudah atau tumbang menghempap siapa sahaja," kiasnya.

Dalam pada itu, Abdul Hadi turut berkata PAS mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera tanpa menaruh dendam kesumat

"(Ini) walaupun PAS merupakan parti yang paling ramai pemimpin dan ahlinya menjadi mangsa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sejak zaman penjajah sehinggalah merdeka. Bahkan, ada yang mati terkorban bukan sahaja ditahan dan dibuang daerah.

"Malah, ada yang dibuang kerja, bukan sahaja diturunkan pangkat dan ditukar ke tempat yang jauh.

"Sehinggalah, dirompak hak royalti petroleum Terengganu yang bersejarah dan dinafikan hak royalti petroleum Kelantan, hak rakyat biasa serta pelajar yang menyokong PAS," katanya lagi dipercayai merujuk kepada kerjasama parti itu dengan BN dalam membentuk kerajaan selepas keruntuhan PH.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS