Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelajar cemerlang STPM akhirnya dapat semula status warganegara

Dilahirkan sebagai 'bayi Merdeka' tetapi terpaksa berjuang untuk "kemerdekaan" sepanjang usia remajanya, kini Muhammad Omar Mokhtar Abdul Rahman yang berusia 22 tahun akhirnya boleh memperingati sambutan Hari Malaysia yang akan datang sebagai warganegara sepenuhnya.

Ini berikutan kelulusan Menteri Dalam Negeri terhadap permohonan kewarganegaraannya.

Status kewarganegaraannya menjadi isu buat Omar ketika dia berusia 12 tahun dan menjadi "tidak bernegara" selepas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menimbulkan persoalan mengenai status kewarganegaraan ibu kandungnya.

Penasihat Lawyers for Liberty Latheefa Koya berkata Omar yang menetap di Alor Star, Kedah menerima berita gembiranya melalui surat rasmi daripada JPN bertarikh 12 Sept, dengan arahan untuk hadir ke pejabat JPN terdekat untuk pengeluaran sijil kewarganegaraan.

“Saya amat gembira untuk Omar dan keluarganya.

"Ia adalah perjuangan yang panjang bagi mereka, yang tidak sepatutnya mereka lalui sejak dari awal lagi," kata Latheefa, yang mewakili Omar.

Omar dilahirkan di Hospital Kajang dan diberikan sijil kelahiran dengan butiran kedua-dua ibu bapa seperti yang diperuntukkan pada masa itu, tetapi kemudiannya gagal mendapatkan MyKid dan kewarganegaraannya telah ditarik balik.

Pembatalan itu susulan kegagalan bapa Omar memberikan sijil nikah kepada JPN, dan dia sudah pun bercerai dan berjauhan dengan isterinya yang dikatakan berasal dari Sabah.

Setahun kemudian, Omar diterima sebagai anak angkat secara rasmi oleh kakak bapanya atas nasihat JPN supaya dia boleh bersekolah di sekolah kerajaan sebagai pelajar asing, di mana dia mendapat keputusan cemerlang dengan bantuan guru yang berdedikasi.

Terbaru Omar muncul sebagai salah seorang pelajar terbaik STPM SMK Kubor Panjang.

Ketika dihubungi, Omar melahirkan rasa syukur dan lega atas keputusan yang mengubah hidup itu, yang akan membantunya mengejar impiannya untuk menjadi seorang pendidik

"Alhamdulillah. Rasanya satu beban yang besar telah diangkat daripada saya," katanya kepada Malaysiakini.

Mengenai langkah seterusnya, Omar berkata dia masih mempertimbangkan beberapa pilihan pengajian, termasuk tawaran biasiswa yang diterima sejak nasibnya mendapat perhatian umum bulan lalu.

Sementara itu, Latheefa menegaskan masih ramai lagi golongan belia seperti Omar yang dinafikan hak kerakyatan mereka bukan kerana kesalahan mereka sendiri.

"Saya menggesa kerajaan untuk melihat dan memproses kes-kes tersebut dengan cepat," katanya.

Perkara 15(A) menyatakan bahawa kerajaan boleh menyebabkan mana-mana orang di bawah umur dua puluh satu (21) tahun didaftarkan sebagai warganegara dalam apa-apa keadaan istimewa yang difikirkannya patut.

Permohonan sedemikian mesti dibuat oleh ibu bapa atau penjaga yang berkaitan dengan orang yang akan didaftarkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS