story images
story images
mk-logo
Berita
Veteran ATM jalan dari Ipoh ke Putrajaya tuntut kebajikan, pengampunan

Sekumpulan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjalan kaki dari Ipoh ke Putrajaya bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap isu kebajikan pesara tentera yang didakwa diabaikan pihak berkuasa.

Perjalanan yang dianggarkan sejauh 254km itu melewati jalan lama dari Ipoh telah bermula sejak Ahad lalu.

Ketua Sekretariat Pusat Pertubuhan Suara Patriotik Rakyat Malaysia Nong Abd Karim memberitahu Malaysiakini mereka mula berjalan kaki dari Simpang Pulai, Perak menuju ke Jabatan Perdana Menteri menerusi lima fasa hari perjalanan.

“Fasa 1, Ahad, telah sempurna rehat di masjid Kampar dan seterusnya bermalam di homestay Sungkai.

“Fasa 2 dari Sungkai ke Tanjung Malim dengan menerima kunjungan veteran-veteran dan menerima sumbangan.

“Fasa 3 dari Tanjung Malim ke Templer Park telah sempurna dengan tambahan peserta isteri veteran dan peserta dibawa menginap di sebuah homestay di Batu 16 Rawang dengan diraikan jamuan makan malam serta sumbangan hamper oleh YB Sani Hamzan Adun Taman Templer”, katanya melalui aplikasi pesanan.

Menurut Nong lagi, perjalanan fasa 4 menuju ke Putrajaya pada hari ini dijangka akan tiba pada jam 2 petang.

“Kami dah lepas tol Sungai Besi, jam 2 sampai dan akan berehat di resthouse Dengkil”, katanya.

Esok, veteran tentera ini akan mengorak langkah ke Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya sekitar jam 8.30 hingga 9 pagi untuk menyerahkan memorandum tuntutan mereka.

Antara tuntutan yang dibangkitkan adalah agar pencen tentera yang bersara diselaraskan, serta hak untuk menerima pencen setelah sekurang-kurangnya 10 tahun berkhidmat.

Mereka juga menuntut kerajaan menyegerakan pengampunan untuk bekas tentera yang diberhentikan atas sebab tatatertib.

Awal Jun lalu, Himpunan Reunion Veteran ATM yang berlangsung di Tugu Negara di Kuala Lumpur mengemukakan tuntutan hampir serupa.

Susulan itu, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim pada 6 Jun menggesa Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein memandang serius nasib yang menimpa pesara tentera di negara ini.

Anwar menegaskan kerajaan perlu menyemak semula dasar pencen pesara tentera dan menangani beberapa isu lain yang melibatkan kebajikan mereka.

Ahli Parlimen Bukit Bendera Wong Hon Wai pula mencadangkan kerajaan menubuhkan jawatankuasa parlimen rentas parti untuk meneliti isu-isu yang dibangkitkan oleh veteran ATM.

Dalam perkembangan berkaitan Hishammuddin berjanji akan meneruskan agenda membela veteran ATM dan tuntutan mereka akan diberi perhatian sewajarnya.

Pada 3 Ogos lalu, Hishammuddin memaklumkan di parlimen Kementerian Pertahanan menubuhkan suatu badan bagi mempertimbang permohonan bekas tentera tertentu untuk didaftarkan sebagai veteran ATM..

Menteri kanan pertahanan itu juga menjelaskan tuntutan pengampunan untuk bekas tentera yang diberhentikan atas sebab tatatertib.

Menurut Hishammuddin, Panel Penasihat Pengiktirafan Veteran ATM yang ditubuhkan akan mempertimbang permohonan mereka untuk didaftarkan sebagai veteran ATM.

"Sebaik permohonan bekas tentera ini didaftarkan sebagai veteran ATM diluluskan, mereka layak menikmati pelbagai faedah serta manfaat seperti veteran yang lain," katanya dalam jawapan secara lisan di Dewan Rakyat.

Pada 9 Sept, Hishammuddin mengumumkan kementeriannya juga telah memajukan kepada Kementerian Kewangan cadangan untuk meluluskan kenaikan Bantuan Sara Hidup kepada veteran ATM tidak berpencen di bawah kategori B40 daripada RM300 sebulan kepada RM400 sebulan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS