Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Adakah salah saya guna hujah agama untuk memandu rakyat?'
Diterbitkan:  Sep 14, 2022 3:17 PM
Dikemaskini: 7:17 AM

Kritikan dibuat Lim Guan Eng terhadap cara Idris Ahmad menangani isu serangan seksual didakwa berlaku ke atas seorang pelakon remaja mendorong menteri di Jabatan Perdana Menteri melontarkan soalan jika pemimpin DAP terbabit cuba bermain sentimen perkauman.

Kata Idris, dia juga mahu tahu jika Lim sedang cuba membesarkan jurang agama dengan menghasut orang bukan Islam menjauhi kepercayaan yang diamalkan oleh orang Islam.

Pada masa sama, naib presiden PAS itu mendakwa, ada ramai orang bukan Muslim yang memahami keterbatasan yang digariskan di dalam Islam dan menghormari pendirian dan amalan Muslim.

Kata Idris, jika ada pihak mendakwa dia memalukan individu yang terlibat dalam kes tersebut, ia merupaan fitnah yang berat, kerana apa yang dilakukannya ialah mengambil pertimbangan menggunakan "neraca agama" semasa menilai isu berkenaan.

"Adakah salah jika saya menggunakan ilmu dan hujah agama untuk memandu rakyat dan umat Islam dalam setiap pertimbangan dosa dan pahala untuk kemaslahatan umat Islam sendiri?

"Adakah salah untuk saya sebagai menteri agama menyeru perkara yang digariskan dalam agama tanpa melarikan sedikit pun prinsip yang terkandung di dalam al-Quran?

"Atau YB (Lim) sengaja memercikkan api perkauman dan membesarkan jurang agama dengan menghasut para non-Muslim menjauhi kepercayaan yang diamalkan umat Islam?" katanya semalam.

Pembangkang tak ada idea

Kenyataan Idris itu dibuat sebagai reaksinya kepada pandangan diberi Lim yang memetik laporan media mengenai prestasi menteri dari PAS dalam kerajaan sekarang.

Memetik pandangan bekas pensyarah sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Mohammad Agus Yusoff, laporan tersebut mendakwa prestasi paling rendah ditunjukkan dalam kalangan menteri terbabit ialah Idris.

Katanya, ahli Dewan Negara itu "memalukan mangsa serangan seksual" dengan pandangan yang diberikannya pada 6 Sept lalu.

Ketika itu Idris dilaporkan Harian Metro sebagai berkata pelakon remaja terbabit tidak wajar mendedahkan perangai bapanya kepada orang ramai, sebaliknya "menutup aib sendiri."

Bagaimanapun Idris kemudian menjelaskan dia lebih khuatir terhadap ancaman dan keselamatan pelakon berkenaan apabila mendedahkan perilaku ayahnya kepada umum.

"Kita tidak tahu implikasinya apatah lagi berhadapan dengan keganasan dan kewarasan seseorang manusia yang tidak terjangka," kata Idris pada 6 Sept.

Hari ini Idris berkata, dia tidak melihat sebarang "idea tuntas" dikemukakan pembangkang selain "mencari kesalahan" pada setiap "usaha baik kerajaan".

Pada masa sama Idris berkata dia akan meneruskan tugasnya sebagai menteri agama dan melihat mana-mana ruang penambahbaikan dan kemajuan umat Islam dan rakyat Malaysia dengan kuasa yang ada.

"Kamu pula fokus membersihkan diri kamu yang sedang dibicarakan atas pertuduhan rasuah dalam kes terowong," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS