Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lagi moratorium bergantung kemahuan politik bukan bank - DAP
Diterbitkan:  Sep 14, 2022 3:03 PM
Dikemaskini: 7:47 AM

Pengerusi DAP Lim Guan Eng telah menolak dakwaan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz bahawa satu lagi pusingan moratorium pembayaran balik pinjaman bank adalah bergantung sepenuhnya kepada bank.

Lim berkata satu lagi moratorium pembayaran balik pinjaman hanya akan berlaku jika satu lagi memorandum persefahaman (MOU) ditandatangani antara Pakatan Harapan dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob atau jika pilihan raya hanya diadakan pada tahun depan.

"Walaupun sesetengah pihak mungkin mengatakan bahawa keputusan sama ada untuk memberikan atau tidak moratorium pinjaman bank adalah bergantung kepada bank, ia sebenarnya adalah kemahuan politik dan bukan pertimbangan perbankan swasta, yang akan terbukti penting seperti yang berlaku apabila MOU pertama ditandatangani.

"PH akan memberikan sokongan politik dan awam yang diperlukan bukan sahaja untuk moratorium pinjaman bank tetapi juga untuk pengecualian kadar faedah bagi tempoh tertentu untuk membantu kumpulan sasar.

"Kerajaan harus memberi keutamaan kepada keperluan rakyat berbanding pertimbangan keuntungan yang lebih daripada cukup bagi sektor perbankan," kata Lim pada satu kenyataan hari ini.

Menurut bekas menteri kewangan era PH itu lagi, langkah berkenaan perlu untuk membantu perniagaan yang sedang bergelut untuk pulih semasa berhadapan dengan inflasi yang tinggi dan pembayaran balik pinjaman yang lebih tinggi berikutan siri kenaikan kadar faedah baru-baru ini.

Bank Negara telah menaikkan kadar dasar semalamannya (OPR) tiga kali berturut-turut sejak Mei sebagai tindak balas kepada langkah serupa oleh bank pusat AS.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS