Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penjelasan IGP tentang ladang troll polis tak memuaskan - Lim
Diterbitkan:  Sep 14, 2022 2:23 PM
Dikemaskini: 7:45 AM

Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang mengulas penjelasan Ketua Polis Negara (KPN) Acryl Sani Abdullah Sani semalam bahawa PDRM masih meneruskan siasatan mengenai dakwaan kewujudan 'ladang troll' yang dikaitkan dengan pasukan keselamatan itu.

“Ini paling tidak memuaskan. Mengapakah polis mengambil masa yang lama untuk menyiasat dakwaan Meta tentang ‘ladang troll’ polis atau adakah kita mempunyai ‘ladang troll’ polis yang beroperasi tanpa pengetahuan atau persetujuan KPN?” soal veteran DAP itu, pada satu kenyataan hari ini.

Lim berkata sudah 40 hari berlalu sejak Meta mendedahkan dalam Laporan Ancaman Musuh Suku Tahunan pada 5 Ogos bahawa firma itu telah mengalih keluar ratusan akaun Facebook dan Instagram, halaman dan kumpulan yang merupakan sebahagian daripada "ladang troll" yang bertujuan untuk mempengaruhi pengguna media sosial Malaysia.

Dia menyoal sama ada polis telah menghubungi Meta untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai isu itu atau tidak.

“Mengapa polis mengambil masa berminggu-minggu dan berbulan-bulan untuk menangani masalah yang beroperasi dalam setiap saat dan minit?

“Saya telah meminta siasatan awam yang diketuai oleh hakim atau bekas hakim untuk menyiasat dakwaan serius oleh Meta itu.

“Adakah KPN bersetuju dengan cadangan untuk memulihkan kredibiliti awam dan profesionalisme polis dan untuk memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa polis tidak terlibat dalam jenayah siber,” katanya.

Selanjutnya, pemimpin DAP itu berkata bahawa KPN harus menyatakan sekiranya polis bersedia untuk bekerjasama dengan siasatan bebas.

"KPN harus menyatakan jika polis bersedia untuk bekerjasama dengan siasatan bebas, termasuk menjemput Meta untuk mendedahkan keterangan yang membuktikan kaitan pasukan itu dengan ladang troll," katanya.

Semalam, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata siasatan masih berterusan terhadap laporan Meta bahawa firma itu telah mengeluarkan lebih 600 "ladang troll" daripada akaun Facebook dan Instagram yang dikaitkan dengan PDRM.

"Kami menafikan segala dakwaan tersebut. Saya telah mengarahkan pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) untuk meneliti.

"Kita masih jalankan siasatan.

“Jika ada perkembangan, jabatan JSJK akan bagi respon," katanya," pada sidang akhbar semalam.

Menurut Meta, siasatannya mendapati "ladang troll", yang menyokong parti pemerintah dan polis sambil menuduh pengkritiknya dan pembangkang rasuah, dikaitkan dengan pasukan keselamatan itu.

Polis sebelum ini menafikan kaitan itu, dengan Setiausaha PDRM Noorsiah Mohd Saaduddin berkata mereka memandang serius dakwaan itu dan sedang mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS