Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DAP usul 9 cadangan dalam Bajet 2023
Diterbitkan:  Sep 14, 2022 1:57 PM
Dikemaskini: 7:48 AM

Menyifatkan Malaysia kini berada di "saat penting", DAP hari ini menyerahkan memorandum berkenaan Belanjawan 2023 kepada kerajaan.

Memorandum itu antara lain memberi penumpuan kepada isu kesihatan, membina semula kebingkasan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), keselamatan makanan dan persediaan menghadapi banjir.

Menurut DAP, kerajaan tidak seharusnya secara tiba-tiba menarik balik bantuan yang diberi kepada rakyat, memandangkan negara baru saja mula pulih daripada wabak Covid-19.

"Dengan banyak isi rumah yang terjerumus ke dalam kemiskinan, pengangguran dan isu pekerjaan tidak setaraf kelayakan sejak dua tahun lalu, bantuan meluas masih diperlukan untuk melindungi dan mengupayakan punca pendapatan (rakyat).

"Pada masa sama, dengan kita sudah melepasi krisis kesihatan terburuk, kita perlu berfikir ke hadapan dan memastikan kita bukan saja dapat bertahan, malah berkembang maju dalam dunia yang kian sukar dijangka.

"Dengan itu, kami menggesa Belanjawan 2023 untuk memberi tumpuan kepada perbelanjaan kerajaan yang mapan dengan Malaysia bergerak melangkaui usaha pemulihan, tetapi turut membina keteguhan bagi menghadapi sebarang pergolakan pada masa akan datang," menurut memorandum itu.

Diketuai setiusaha agungnya Anthony Loke, memorandum itu diserahkan oleh sekumpulan ahli parlimen DAP, antaranya Chan Foong Hin dan Tony Pua, kepada Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz di Putrajaya.

DAP berkata cadangan yang dikemukakan selaras dengan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

"Untuk kembali bangkit dengan lebih baik di era pasca pandemik, kita perlu memastikan belanjawan menyokong agenda RMK12 dalam melaraskan semula ekonomi (resetting), dan pada masa sama kekal fokus kepada ideal progresif berkenaan keselamatan makanan, kesejahteraan, keterangkuman dan kemapanan," kata parti itu.

Tambahan RM2.5 bilion hadapi banjir

Antara langkah yang dicadangkan dalam memorandum itu adalah:

  • Peruntukan kepada Kementerian Belia dan Sukan sekurang-kurangnya RM1.29 bilion - seperti dalam Belanjawan 2019 oleh kerajaan PH.

  • Pengurangan cukai berkaitan beras.

  • Peningkatan subsidi untuk pesawah kepada daripada RM300 bagi setiap tan metrik kepada RM500 bagi setiap tan metrik.

  • Mengurangkan nilai ambang terendah cukai untuk PKS daripada 17 peratus kepada 15 peratus - dengan pendapatan boleh dicukai di bawah kadar ini dinaikkan kepada RM1 juta pertama, berbanding RM600,000.

  • Memberi insentif kepada syarikat penerbangan untuk membawa masuk pelancong asing.

  • Memperuntukan geran dan insentif cukai pelaburan khusus bernilai RM1 bilion untuk penempatan semula semua jenis industri, terutama semua sektor pembuatan, ke Sabah dan Sarawak.

  • Peruntukan pembangunan kepada Sabah dan Sarawak merangkumi 30 peratus belanjawan pembangunan keseluruhan.

  • Tambahan peruntukan RM2.5 bilion untuk usaha tebatan banjir menerusi dana bantuan untuk mangsa, sehingga RM50,000 bagi setiap isi rumah terkesan.

  • Menambah sumber manusia secara drastik dalam sistem kesihatan awam, selain menangani isu yang dihadapi kakitangan kontrak dalam sektor itu.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS