Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kemungkinan KJ bertanding di Alor Setar ada dibincang'
Diterbitkan:  Sep 14, 2022 12:49 PM
Dikemaskini: 7:17 AM

Kemungkinan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin akan bertanding di kerusi Parlimen Alor Setar pada PRU15 sekali lagi diperkatakan.

Semalam, Timbalan Ketua Umno Alor Setar Zambri Mat mendedahkan isu calon yang akan bertanding di situ - yang merupakan kerusi tradisi MCA - dibincangkan dalam mesyuarat bersama Umno peringkat cawangan negeri itu baru-baru ini.

Menurut Zambri, pada mulanya mereka mengusulkan agar Ketua Umno Alor Setar Mohd Yusof Ismail untuk dicalonkan.

"Juga dibincangkan 'secara berdua' adalah kemungkinan membawa Khairy bertanding di Parlimen Alor Setar - ingatkan sulit kami berdua saja.

"Rupa-rupanya semasa mesyuarat bersama beberapa agensi di bawah Majlis Perundingan Usahawan yang dihadiri hampir 30 orang, Dato Yusof (Ismail) dgn 'berjiwa besar' memaklumkan kepada pegawai pejabat kesihatan daerah, 'hampa kena bersedia dan kerja lebih lagi sebab menteri hampa nak mai bertanding di Parlimen Alor Setar'," katanya di Facebook.

Dua hari lalu, Khairy secara berseloroh berkata dia berada di Kedah untuk berbincang dan berunding bertanding di kerusi Parlimen dengan Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor.

"Mak saya dari Kedah," katanya yang dipetik portal Berita Harian Online, ketika diminta mengulas jika ada negeri telah menawarkannya mana-mana kerusi untuk bertanding pada PRU15.

Ia berikutan pengumuman Khairy awal bulan ini bahawa dia tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Rembau, yang dipegangnya sejak 2008, bagi memberi laluan kepada Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.

Pada Disember lalu, Mohd Yusof menawarkan diri untuk bertanding di Alor Setar memandangkan MCA telah tewas di kerusi Parlimen itu sejak 2013. Kerusi itu pada masa ini disandang oleh Chan Ming Kai dari PKR.

Sementara itu, Utusan Malaysia memetik sumber sebagai berkata, Khairy juga ada kemungkinan diletakkan di Port Dickson.

“Sah atau tidak Khairy ke Port Dickson? Confirm. Dia sudah suruh Ketua Umno Port Dickson Mohd Faizal Ramli dan timbalan Abdul Rahman Redza buat kerja,” kata sumber seperti dipetik laporan itu.

Katanya lagi, ia tak dihebahkan di peringkat awal kerana bimbang berlaku sabotaj.

Kawasan Parlimen itu pada masa ini disandang Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Laporan itu juga memetik satu lagi sumber yang berkata, kepimpinan Umno tiada masalah dengan perkara itu kerana ia dianggap lebih baik berbanding menyerahkan kerusi Parlimen itu kepada MIC.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS